Mampu Ubah Rasa Masam Jadi Manis, Ini 9 Jenis Buah-Buahan Yang Anda Pasti Tak Pernah Tahu

Berikut merupakan sembilan jenis buah-buahan yang kewujudannya tidak diketahui oleh orang ramai:

1. Cupuaçu

Berasal dari Brazil dan banyak ditemui di seluruh lembangan Amazon, nama saintifik bagi buah ini ialah Theobroma grandiflorum. Buah cupuaçu datang daripada keluarga Malvaceae iaitu sama seperti buah koko.

Isi buah ini berwarna putih susu dan mengandungi beberapa biji buah yang berwarna coklat gelap.

Buah tersebut difahamkan mempunyai rasa lemak. Ada juga yang menyatakan bahawa buah ini berasa seperti buah pear dengan sedikit rasa pisang.

Anda boleh makan buah tersebut begitu sahaja atau anda boleh mengolah buah ini untuk menjadi aiskrim, jus minuman dan makanan ringan. Anda boleh menghidu bau seperti nanas dan koko apabila anda mengupas buah ini.

2. Tangan Buddha

Citrus medica var. sarcodactylis atau lebih dikenali sebagai tangan Buddha ini berasal dari China dan sekitar Myanmar. Selain itu, buah ini kerap digunakan untuk dipersembahkan di kuil dalam upacara keagamaan Buddha.

Bentuk buah ini sangat unik kerana walaupun bentuk buah ini bujur, tetapi bahagian hujungnya berjuntai menyerupai susunan jari manusia.

Selain itu, tangan Buddha berwarna hijau ketika muda dan warnanya akan berubah menjadi kuning apabila buah itu sudah matang. Isinya pula berwarna putih pejal dan tidak mengandungi biji buah.

Tangan Buddha berasa seperti lemon tetapi lebih masam kerana kandungan vitamin C dalam buah tersebut sangat tinggi. Buah ini unik kerana ia tidak akan gugur walaupun sudah matang.

3. Yangmei

Berasal dari China, nama saintifiknya ialah Morella Rubra. Walaupun warna buah ini merah, tetapi warnanya akan menjadi semakin gelap apabila ia sudah matang.

Selain itu, yangmei difahamkan berasa seperti strawberi dan raspberi iaitu masam dan sedikit manis selain mengandungi banyak air.

Isi buah tersebut boleh dijadikan aiskrim, pewarna semula jadi atau boleh juga diperam untuk dijadikan arak.

4. Buah hala

Pandanus Tectorius ialah pokok yang menghasilkan buah hala ini dan boleh dijumpai di kawasan Lautan Pasifik dan Australia.

Buah ini berasal dari Hawaii dan dianggap unik kerana sifatnya yang mempunyai sekitar 30 ke 200 ruas untuk sebiji buah.

Anda boleh makan buah tersebut secara mentah mahupun dimasak. Kebiasaannya, bahagian yang berwarna hijau itu digunakan untuk membersihkan gigi.

5. Kawista

Berasal dari India tetapi sudah mula tersebar ke Asia Tenggara, bentuk buah ini bulat bersisik dan kulitnya sangat keras.

Untuk membuka buah ini, anda perlu membalingnya ke atas lantai atau memukulnya sehingga kulitnya retak.

Buah kawista ini boleh dimakan begitu sahaja ataupun dijadikan jamu.

6. Miracle berry

Buah ini berasal dari Ghana dan boleh mengubah deria rasa manusia. Buah ajaib ini mampu untuk mengubah segala makanan yang dimakan untuk menjadi manis. Buah-buahan masam pun tidak terkecuali. Bahkan air kosong juga akan bertukar rasa menjadi manis.

Ajaib bukan? Hal ini terjadi kerana buah tersebut mengandungi protein yang dipanggil miraculin yang mana ia berkesan untuk mengubah rasa menjadi manis.

7. Jabuticaba

Turut dikenali sebagai anggur Brazil, jabuticaba berbeza daripada anggur biasa kerana ianya tumbuh di bahagian kulit pokok dan tidak membentuk gugusan.

Buah ini boleh terus dimakan dan boleh juga dijadikan jeli dan minuman.

8. Kiwano

Berasal dari kawasan gurun Sahara, buah ini yang turut dikenali sebagai timun berduri Afrika ini dikatakan mempunyai campuran rasa di antara buah zukini, timun dan kiwi.

Kiwano turut mempunyai banyak nutrisi dan vitamin selain mempunyai kalori yang rendah menjadikannya sangat sesuai untuk sesiapa yang ingin menurunkan berat badan.

9. Safou

Buah safou atau nama saintifiknya, Dacryde edulis ini boleh dijumpai di kawasan Afrika Tengah dan juga Afrika Barat seperti Nigeria, Gabon dan sekitarnya.

Selain itu, safou dikatakan mempunyai kandungan lemak yang cukup tinggi dan sedikit sebanyak telah membantu untuk mengatasi masalah kelaparan di Afrika.

Isi dan biji buah tersebut boleh diekstrak menjadi minyak. Buah ini boleh dinikmati secara mentah atau dimasak terlebih dahulu. Masyarakat Nigeria menikmati buah safou yang sudah dimasak bersama-sama dengan makanan berkanji seperti jagung sebagai makanan utama mereka.

Kesimpulannya, faktor yang menyebabkan buah-buahan ini dianggap unik adalah kerana mereka sukar diperoleh atau kadar pengimportannya yang sedikit menyebabkan masyarakat di sini sukar untuk menyedari kewujudan buah-buahan tersebut.

Penulis

  • Nani Izwani Binti Ahmad Anuar adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Artikel Lain Untuk Di Baca