Mampu Tangani Masalah Emosi, Ini 7 Manfaat Aktiviti Mewarna Bagi Orang Dewasa

Bilakah kali terakhir anda memegang pensil warna atau krayon? Pastinya sudah lama masa itu berlalu, bukan? Beberapa tahun yang lepas, pakar perubatan dan kesihatan mental telah mengeluarkan kenyataan di mana terapi mewarna mempunyai banyak manfaat daripada segi psikologi terhadap orang dewasa. Aktiviti mewarna yang dahulunya dilihat khas bagi kanak-kanak kini telah muncul sebagai trend yang disukai oleh orang dewasa.

Sama ada mewarna berdasarkan corak doodle, bunga, haiwan, mandala atau lain-lain corak lagi, aktiviti mewarna bagi orang dewasa tidak hanya tertakluk kepada fenomena seni tetapi ia didapati memberi kesan baik kepada kesihatan. Bahkan, buku mewarna yang berada di pasaran khas untuk orang dewasa lebih bersifat mencabar dan kompleks.

Berikut kami kongsikan tujuh manfaat yang boleh diperoleh melalui aktiviti mewarna bagi orang dewasa:

1. Mengalihkan perhatian daripada diri sendiri

Aktiviti mewarna berupaya untuk mengalihkan perhatian anda daripada diri sendiri. Hal ini kerana anda memberi tumpuan kepada aktiviti yang sedang anda lakukan sama seperti kesan meditasi. Daripada membiarkan diri melayan fikiran yang bukan-bukan, anda dapat fokus mewarna pelbagai corak yang kompleks selama beberapa jam.

2. Membantu menangani masalah emosi dan mental

Kebosanan, tekanan perasaan dan rasa tidak sistematik boleh mencetuskan masalah emosi dan mental. Ini boleh terjadi kepada mereka yang menderita penyakit OCD (Obsessive Compulsive Disorder) dan kemurungan. Masa dan perhatian yang diberikan individu kepada aktiviti mewarna mampu mengalihkan fokus mereka daripada tabiat negatif dan membolehkan mereka fokus kepada aktiviti yang lebih produktif dan selamat.

3. Menenangkan otak

Aktiviti mewarna boleh membantu individu yang mengalami tekanan akibat trauma (PTSD atau post traumatic stress disorder), kegelisahan dan stres kerana ia bertindak menenangkan mereka. Bahagian otak ini mengawal tindak balas ‘lawan atau lari’ (fight or flight) yang membuatkan mereka berada dalam keadaan berjaga-jaga, bimbang dan takut apabila ia aktif. Bagi mengurangkan tindak balas tersebut dan merehatkan otak, aktiviti yang menenangkan seperti mewarna sangat membantu.

4. Mewarna mengembalikan kita ke masa lalu

Aktiviti mewarna mampu mengembalikan diri anda pada memori-memori zaman kanak-kanak dahulu, di mana waktu itu anda bebas melakukan apa sahaja, tiada beban dan tanggungjawab. Di dalam fikiran hanya ingin bermain dan bergembira sahaja. Namun, apabila dewasa anda mula kenal apa itu beban dan tanggungjawab tapi dengan melakukan aktiviti mewarna, anda seolah-olah dibawa kembali ke zaman nostalgia, zaman di mana anda masih lagi bergelar kanak-kanak.   

5. Manfaat intelektual

Sukar untuk percaya aktiviti mewarna turut mempunyai manfaat intelektual. Hal ini demikian kerana mewarna melibatkan penggunaan bahagian otak yang meningkatkan daya tumpuan dan perhatian. Ia juga membantu meningkatkan daya penyelesaian masalah dan kemahiran organisasi. Mewarna corak yang kompleks boleh mengaktifkan semua fungsi tersebut.

6. Melatih semula daya kemahiran

Kedua-dua hemisfera otak kiri dan kanan digunakan ketika aktiviti mewarna. Sewaktu kita memilih skim warna dan menimbang kesesuaiannya serta menggerakkan pensel warna pada kertas, ini sebenarnya mengembangkan keupayaan menyelesaikan masalah dan kemahiran motor halus (pergerakan jari dan sebagainya). Menariknya, aktiviti mewarna sangat berguna untuk terapi kerja. Semakin susah dan sukar corak yang diwarnakan, semakin banyak fungsi otak dan daya kemahiran yang dilatih.

7. Mengalihkan perhatian daripada kesakitan

Aktiviti mewarna boleh meningkatkan kesedaran kita dengan menggantikan pemikiran negatif kepada positif dan menyenangkan. Jika anda sedang menjalani rawatan tertentu dalam tempoh yang panjang, memberikan tumpuan kepada aktiviti ini dapat mengurangkan perasaan cemas dan tidak selesa. Anda dapat mengalihkan tumpuan anda daripada kesakitan fizikal atau emosi dengan melakukan sesuatu daripada hanya melihat.

Jelaslah di sini aktiviti mewarna tidak terhad kepada kanak-kanak sahaja malah orang dewasa juga boleh melakukan aktiviti ini bagi melepaskan segala tenaga negatif. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.

Penulis:

  • Nur Rihhadatul Aisya Mohd Nazaruddin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan aktiviti mewarna, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca