Mampu Pusing Kaki 157 Darjah, Ini 7 Individu Yang Berjaya Pecah Rekod Dunia Hanya Dengan Anggota Badan Mereka

Ciptaan Tuhan itu sememangnya indah dan menakjubkan. Jadi, tidak hairanlah bagaimana sesetengah manusia ini mempunyai keunikan pada bahagian badan mereka sehingga membolehkan mereka dicatat di dalam rekod dunia Guinness.

Berikut merupakan tujuh individu yang berjaya memecahkan rekod dunia Guinness hanya dengan tubuh badan mereka.

1. Ekaterina Lisina

Pada 20 Julai 2017, Ekaterina Lisina diisytiharkan sebagai model profesional paling tinggi di dunia. Kini berusia 32 tahun, Ekaterina mempunyai ketinggian 205.16 sentimeter yakni bersamaan dengan 6 kaki 8.77 inci.

Selain itu, Ekaterina juga memegang rekod dunia wanita dengan kaki paling panjang. Ukuran kaki model yang berasal dari Labinsk, Rusia ini mencecah 52.3 inci.

2. Lee Redmond

Rekod dunia bagi kuku paling panjang merupakan milik seorang wanita bernama Lee Redmond yang berukuran 8.65 meter yakni 28 kaki dan 4.5 inci.

Walau bagaimanapun, wanita itu sudah kehilangan harta paling bernilainya itu selepas dia terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya pada awal tahun 2009.

3. Maxwell Day

Pada usia 14 tahun, Maxwell Day berjaya menempatkan dirinya sebagai salah seorang pemecah rekod dunia.

Ketika ditemui pada 23 September 2015, remaja ini berjaya membuktikan kepada ahli panel rekod dunia Guinness bahawa dia mampu memusingkan kakinya sehingga 157 darjah.

4. Devendra Suthar

Seorang lelaki dari India bernama Devendra Suthar merupakan pemegang rekod dunia bagi bilangan jari tangan dan kaki yang berada pada manusia hidup. Lelaki berusia 46 tahun ini dilahirkan dengan kondisi yang digelar polydactylism.

Ketika ditemui di Himatnagar, Gujarat, India pada 11 Novemer 2014, Devendra yang bekerja sebagai tukang kayu ini mempunyai 14 jari tangan dan 14 jari kaki.

5. Kim Goodman

Kim Goodman, 43, mempunyai kebolehan unik iaitu dia mampu menjegilkan matanya sehingga tersembul keluar sebanyak 12 milimeter dari soket matanya. Wanita yang berasal dari Amerika Syarikat itu pertama kali menyedari kebolehannya setelah dia dipukul di bahagian kepala.

Pada 2 November 2007, Kim dianugerahkan rekod dunia tersebut setelah matanya diukur oleh pakar di Istanbul, Turki.

6. Francisco Domingos Joaquim

Pada 18 Mac 2010, seorang lelaki berusia 20 tahun diisytiharkan sebagai manusia yang mempunyai mulut paling lebar di dunia dengan ukuran mencecah 17 sentimeter.

Francisco Domingo Joaquim yang turut dikenali dengan jolokan Angolan jaw of awe berjaya merangkul anugerah tersebut ketika menyertai sebuah pertandingan mulut paling besar di Rome, Itali.

7. Gary Turner

Dilahirkan dengan satu kondisi aneh yang dikenali sebagai Ehlers-Danlos Syndrome, Gary Turner, 48, mempunyai kebolehan meregangkan kulit perutnya sehingga mencecah ukuran 15.8 sentimeter.

Gary dinobatkan sebagai pemegang rekod dunia bagi kulit paling elastik pada 29 Oktober 1999. Kini, lelaki berkenaan masih lagi mengekalkan takhtanya.

Jadi, apakah perasaan anda apabila membaca artikel ini? Adakah anda juga mempunyai keunikan tersendiri pada anggota badan anda?

Artikel Lain Untuk Di Baca