Seorang wanita berpangkat ibu mengaku menghabiskan sekurang-kurangnya RM43,164 untuk memuaskan ketagihan luar biasanya yang gemar menjamah bedak bayi setiap hari.

Lisa Anderson, 44, yang berasal dari Paignton mula memakan produk terbabit semenjak 15 tahun yang lalu selepas selesai mengeringkan anak lelakinya usai mandi.
Wanita ini mendakwa dia sudah menghabiskan wang hampir RM40,000 untuk membeli bedak bayi jenama Johnson’s untuk dijadikan santapan.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata dia mampu menghabiskan satu botol bedak bayi seberat 200g hanya dalam masa satu hari. Malah, dia mendakwa akan bangkit dari tidur empat kali satu malam untuk melunaskan ketagihan kroniknya itu.
Lisa berjaya merahsiakan ketagihannya selama 10 tahun sebelum akhirnya mengaku kepada bekas suaminya bahawa dia memerlukan bantuan profesional bagi menangani masalah itu.
Menurut Lisa, doktor kini percaya dia mengalami simptom bagi penyakit PICA yakni sejenis sindrom yang membuatkan penghidapnya mempunyai keinginan untuk memakan sesuatu yang bukan makanan.
Tambah Lisa lagi, dia berasa ketagihannya itu agak pelik namun rasa bedak yang seakan-akan sabun membuatnya ketagih.

“Saya mampu menghabiskan sebotol besar bedak bayi dalam masa satu minggu. Saya amat tertarik pada baunya dan kini sanggup curi-curi pergi ke tandas selang 30 minit untuk memakannya,” ujar wanita itu.
Lisa mula-mula dilihat menunjukkan simptom PICA pada tahun 2004 yakni beberapa hari setelah melahirkan anaknya yang paling bongsu.
“Saya sering memakaikan anak-anak saya dengan bedak itu. Namun, secara tiba-tiba, saya jatuh hati pada baunya yang kuat.”

“Ia berlaku dalam sekelip mata. Saya hanya menjilatnya dari tangan saya dan kini, ia seperti satu ketagihan,” katanya.
Menurut Lisa lagi, dia pernah bertahan selama dua hari tanpa memakan sebarang bedak bayi. Tetapi, waktu itu dirasakan seperti sungguh menyeksakan.
Walau bagaimanapun, ibu berkenaan berkata dia tidak akan membawa bedak berkenaan ketika dia keluar dari rumah.

“Saya pernah keluar rumah selama beberapa jam tanpa memakan bedak. Akibat daripada perlakuan itu, saya menghabiskan sebanyak enam paket gula-gula pudina hanya untuk menahan diri daripada melampiaskan ketagihan saya di khayalak ramai.”
Difahamkan, tabiat memakan bedak bayi ini mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan Lisa di mana wanita itu mungkin akan menghadapi masalah pernafasan, tekanan darah rendah dan mungkin juga kegagalan paru-paru.
Ujar Lisa lagi, dia berharap perkongsian kisahnya ini mampu membuat masyarakat dunia menyedari tentang bahaya sindrom PICA dan dapat membantu individu lain yang turut mengalaminya.
Menerusi kajian yang pernah dijalankan, The International Agency for Research on Cancer sebelum ini pernah mengisytiharkan bedak berkemungkinan membawa risiko kanser kepada manusia.

Pada tahun 2016, satu kajian yang dibuat di Amerika Syarikat menunjukkan terdapat 33 peratus peningkatan kes kanser ovari bagi individu yang menggunakan bedak pada bahagian intim masing-masing.
Untuk membaca artikel lain berkaitan ketagihan, sila klik pada pautan di bawah: