Mampu Cas Hingga 5 Ribu Telefon, Lelaki China Ini Cipta Sendiri Peranti Bank Kuasa Mudah Alih Gergasi

Seorang YouTuber dari China bernama Handy Geng berjaya mencipta sebuah peranti bank kuasa yang berkapasiti 27 juta mAh.

Peranti bank kuasa gergasi ini dikatakan boleh mengecas lima ribu unit telefon pintar bahkan menghidupkan televisyen dan mesin basuh.

Menerusi video YouTube, Handy Geng menerangkan bahawa dia mempunyai bank kuasa berkapasiti kecil dan memutuskan untuk membeli yang baharu.

Tetapi dia tidak gembira dengan kawan-kawannya yang memiliki bank kuasa berkapasiti yang lebih tinggi darinya.

“Saya tidak berpuas hati dengannya. Jadi saya membuat bank kuasa 27 juta mAh mudah alih,” kata Geng dalam penerangan video YouTube yang dimuat naik pada 29 Januari lalu.

Video berdurasi tujuh minit 34 saat menunjukkan bagaimana dia membina sendiri bank kuasa mudah alih gergasi itu.

Saiznya yang besar adalah sekitar 180cm kali 120cm kali 30cm. Kapasiti yang dimiliki bersamaan dengan 900 bank kuasa yang normal ketika ini.

Geng turut menunjukkan bahawa bank kuasanya juga boleh dibawa ke mana-mana melalui roda di bahagian bawah.

Seterusnya, Geng sekali lagi menunjukkan kebolehan ciptaannya apabila dia pergi memancing di tepi sungai.

Di sana, dia menggunakan bank kuasa itu untuk menghidupkan televisyen, pembakar roti dan  peralatan memasak elektrik pada masa yang sama.

“Dengan bank kuasa ini, anda tidak perlu risau tentang kekurangan elektrik sama sekali apabila berada di luar rumah.

Anda juga boleh memasak ikan dengan segera dengan periuk elektrik dan menikmati makanan segar di kawasan semula jadi,” ujarnya.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca