Malaysia tetap dengan pendirian untuk tidak menerima penyertaan atlet Israel dalam kejohanan sukan antarabangsa yang dianjurkan di negara ini, biarpun telah dilucutkan hak penganjuran oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dan berdiri teguh dengan keputusannya atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib rakyat Palestin.
“Jika penganjuran suatu acara sukan antarabangsa lebih penting daripada mempertahankan hak rakyat Palestin yang dibunuh, dicacatkan dan diseksa oleh rejim Netanyahu, ini bermakna Malaysia telah kehilangan arah moralnya.”
“Kami ingin mengingatkan kepada IPC yang ‘Amnesty International dan Human Rights Watch’ sendiri telah melaporkan bahawa kerajaan Netanyahu sebagai pelaku jenayah perang.”
“Sebagai pemimpin Israel, beliau melambangkan tekad bersama kerajaan Israel. Negara itu bertanggungjawab sepenuhnya atas keseluruhan tindakan moral mereka,” ujar beliau.
Terdahulu, IPC pada Ahad lepas telah memutuskan untuk melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang bakal dianjurkan di Kuching, Sarawak 29 Julai hingga 4 Ogos ini.
Presiden IPC, Andrew Parsons berkata perkara tersebut diputuskan oleh jawatankuasa itu semasa bermesyuarat di London.
Ia susulan Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri gagal memberi jaminan diperlukan perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.
Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan mengambil pendirian yang tegas untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada kejohanan itu, bagaimanapun Jawatankuasa Olimpik Israel membantah terhadap keputusan itu dan terus memberi tekanan kepada pihak penganjur untuk mengeluarkan visa kepada atlet mereka.
Penegasan kerajaan Malaysia itu menyebabkan Israel tidak senang dengan keputusan yang dilakukan dan menggelar Perdana Menteri sebagai ‘anti-Semitisme melampau’.
Sumber: astro Awani