Malaysia Kini Di Fasa 3, Lelaki Ini Jelas 6 Fasa COVID-19 Dilalui Itali Sebelum Darurat

Penularan wabak COVID-19 yang kian membimbangkan di serata dunia telah menyebabkan kerajaan Malaysia mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan.

Mengikut statistik, negara Itali telah mencatatkan jumlah paling banyak berlakunya kematian akibat wabak berkenaan dan negara-negara lain dilihat akan turut sama mengikuti jumlah itu tidak lama lagi, sekiranya jumlah pesakit COVID-19 tidak berjaya dibendung.

Susulan daripada itu, negara Itali yang terjejas teruk dengan penularan wabak berkenaan kini telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

Melalui satu perkongsian yang dibuat pada Rabu, 18 Mac, di laman Facebook, seorang lelaki telah menjelaskan beberapa fasa yang berlaku sebelum negara Eropah itu diumumkan ‘lockdown‘.

Lebih menggerunkan adalah, fasa-fasa yang disenaraikan Mohd Firdaus Mat Saad itu dilihat mempunyai persamaan dengan apa yang sedang berlaku di tanah air. Dikhuatiri sekiranya rakyat Malaysia tidak mengambil langkah berjaga-jaga, kita juga bakal menghadapi darurat.

Enam fasa COVID-19 yang rakyat di Itali sudah lalui. Malaysia berada di fasa tiga sekarang ini.

Baca sehingga habis dan anda akan faham apa yang rakyat Itali telah lalui dan apa yang rakyat Malaysia bakal lalui jika situasi tidak juga berubah.

Itali adalah contoh terdekat yang kita boleh ambil sebagai panduan untuk persediaan menghadapi COVID-19. Apa yang mereka telah lalui, sedang kita lalui.

Sejujurnya, sehingga kini Itali masih belum berjaya mengawal virus ini. Dalam tempoh 24 jam, mereka telah mencatatkan 3,500 kes COVID-19 yang baru. Jumlah semasa di negara mereka ialah 31,506 kes.

Dari segi progress, kita hanya 2 minggu di belakang mereka. Seikhlas hati saya ingin beritahu, masih ramai rakyat Malaysia yang ambil mudah, tidak kisah dan tidak berasa takut dengan gejala COVID-19 ini.

Hari ini, hari pertama Kawalan Pergerakan yang diarahkan oleh kerajaan, masih ada kedai makan yang buka pagi ini dan orang makan di dalamnya secara berkumpulan. Hari ini, di Kuala Lumpur kebanyakan taman-taman dah ditutup oleh pihak DBKL. Tapi, uncle-uncle dan auntie-auntie di Kuala Lumpur berpusu-pusu ke Bukit Kiara untuk ‘bersenam’ di sana.

Di kebanyakan tempat, ramai geng muda hari ni yang ‘berbasikal’ untuk pusing-pusing. Exercise katanya. Hari ini juga, ramai orang muda dari Kuala Lumpur yang merupakan bandar yang mencatatkan bilangan pesakit tertinggi di Malaysia telah sampai di kampung halaman masing-masing. Mereka menggunakan kesempatan cuti sekolah dan cuti tempat kerja untuk ‘bercuti’ di kampung dengan ibu bapa tersayang.

Walaupun hakikatnya, kerajaan sudah memerintahkan Kawalan Pergerakan. Saya rasa rakyat Malaysia tidak sedar dan tidak faham apa yang dimaksudkan. Kita hanya akan sedar betapa serius masalah ini apabila kita baca artikel ini dan kita melaluinya sendiri. 

Di Itali, seorang rakyat Itali telah berkongsi situasi yang dilalui oleh mereka menghadapi COVID-19. Jaso Yonowitz telah menulis enam fasa COVID-19 yang dilalui oleh rakyat Itali.

Penulisan beliau di Twitter telah mendapat jumlah Re-tweet yang sangat tinggi. Saya tulis semula enam fasa yang dilalui oleh mereka dan sesuaikan dengan situasi di Malaysia yang sedang kita lalui.

Fasa satu

Ramai orang mula tahu dan dengar mengenai penyakit berjangkit COVID-19 di Wuhan, China tetapi disebabkan ia berlaku di luar negara, ramai tidak peka kerana merasakan ia tidak penting.

Tiba tiba, ‘kes pertama COVID-19’ sampai ke negara. Ini adalah permulaan kepada sebuah penderitaan yang berpanjangan. Di Malaysia, kes pertama dikesan pada 25 Januari 2020.

Pada waktu ini, pihak berkuasa mengatakan keadaan masih terkawal dan rakyat diminta untuk tidak panik.



Di luar negara terutamanya di China, jumlah peningkatan sangat banyak dan mengejutkan. Ia seperti tidak dapat dikawal.

Tapi di negara kita, bilangan kes semakin bertambah. Kebanyakan kes datang dari luar negara iaitu China. Disebabkan oleh ekonomi, pihak kerajaan pada waktu itu masih tidak mahu menyekat pelancong yang datang dari China. Ia situasi yang sama dihadapi oleh Itali pada peringkat awal. Kita sudah lalui fasa ini.

Fasa dua

Jumlah pesakit semakin meningkat. Semakin ramai pelancong yang datang ke negara telah pun mendapat jangkitan COVID-19 dari negara asal. Cuma kesan dirasai ketika melancong.

Ada juga rakyat Malaysia yang ke luar negara dan terkena jangkitan di luar negara membawa balik virus itu ke Malaysia tanpa sedar. Pada peringkat ini, ada Menteri yang bijak mengatakan “COVID-19 tidak memberi kesan ekonomi terhadap Malaysia.”

Disebabkan COVID-19 merupakan penyakit berjangkit, pihak kerajaan mula menjejaki mereka yang pernah ada ‘contact’ dengan pesakit diminta untuk membuat pemeriksaan.

Dalam masa yang sangat cepat, penyakit mula berjangkit kepada rakyat tempatan. Waktu ini, pihak berkuasa mula mengarahkan self quarantine terhadap mereka yang berada dekat dengan pesakit.

Syarikat yang staf mereka didapati positif mula ‘menutup’ bangunan dan meminta staf bekerja dari rumah untuk kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Makin ramai pelancong dari China yang datang ke negara disahkan positif. Kerajaan terpaksa buat keputusan untuk tidak menerima kapal terbang dari Wuhan dan bandar yang terjejas teruk dengan COVID-19 dari China. Atas dasar ekonomi, pelancong dari tempat lain di China masih boleh datang ke Malaysia.

Waktu ini, peringatan demi peringatan diberikan kepada rakyat Malaysia. Tetapi, hidup tetap berjalan seperti biasa. Meeting berjalan seperti biasa. Kedai semua di buka seperti biasa. Kerja seperti biasa.

Namun, bilangan pesakit semakin bertambah. Fasa ini lebih kurang sama yang dilakukan oleh kerajaan Itali dan kerajaan Malaysia. Fasa ini juga telah kita lalui.

Fasa tiga – Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan

Tiba-tiba jumlah peningkatan pesakit meningkat mendadak. Kes sudah berjangkit dikalangan penduduk tempatan. Malaysia sekarang berada di fasa ketiga ini.

Hospital semakin dipenuhi dengan pesakit dan juga mereka yang dikuarantin. Pemeriksaan COVID-19 terpaksa dilakukan ke atas ribuan suspek.

Pihak pegawai kesihatan mula keletihan kerana terpaksa bekerja lebih masa dan merawat pesakit dengan pakaian keselamatan yang kurang selesa.

Negara mula mencatatkan kematian atas kes terdahulu. Di Itali, COVID-19 hanya serius di 1/4 dari keseluruhan bandar bandar utama sahaja. Untuk itu, pada peringkat awal kerajaan menyisytiharkan penutupan sekolah, komuniti dan tempat kerja di empat bandar utama ini.

Waktu ini, restoran dan kerja-kerja penting masih berjalan seperti biasa. Sewaktu pengisytiharan Kawalan Pergerakan di bandar-bandar ini, hampir 10,000 rakyat Itali di Kawasan yang dijangkiti penyakit ini telah pulang ke kampung halaman untuk bertemu dengan keluarga mereka di bandar-bandar yang kurang dijangkiti penyakit.

Ini kesilapan besar yang dilakukan oleh rakyat Itali. Mereka telah keluar dari tempat wabak dan menjadi punca untuk tersebar penyakit di tempat lain. Arahan pihak kerajaan untuk kekal di rumah masing-masing diabaikan. Sebaliknya mereka ‘balik’ kampung dan ‘lari’ dari tempat wabak.

Ketika ini, di media social, di televisyen, di whatsapp, ramai orang berkongsi mengenai COVID-19 ini. Semua orang baca, tetapi tidak ramai yang ambil serius.

Situasi di Itali, sama seperti yang berlaku di Malaysia. Kerajaan melalui MKN memutuskan untuk Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020. Tempoh kawalan selama 14 hari.

Matlamat kerajaan adalah untuk memastikan orang ramai kekal di dalam rumah dan mengurangkan aktitivi berkumpul dan berjumpa dengan orang lain. Semua masjid dan surau serta rumah ibadah ditutup sepanjang tempoh ini.

Namun, apa yang berlaku malam tadi tadi amat menyakitkan. Kita mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh Itali. Kesilapan terbesar mereka kita telah lakukan.

Malam tadi, ramai penduduk di Kuala Lumpur pulang ke kampung halaman masing masing untuk ‘bercuti’ dengan keluarga di kampung. Anda boleh tengok, di lebuh raya menuju ke Kelantan di Gombak, plaza tol mengalami kesesakan.

Di Terminal Bas Bersepadu (TBS) para pelajar berpusu pusu balik ke kampung setelah mendapat arahan dari pihak atasan untuk mengosongkan asrama. Di KL Sentral keretapi ke semua arah penuh. Di lebuh raya utara selatan malam tadi telah berlaku kesesakan lalu lintas. Belum dikira di balai polis malam tadi penuh disebabkan rakyat nak mohon untuk ke luar daerah.

Tanpa kita sedar, mereka yang tinggal di Kuala Lumpur yang mempunyai rekod pesakit yang tinggi di sana telah pulang ke kampung halaman masing masing di seluruh negara.

Bayangkan, betapa tinggi risiko sedang dihadapi oleh ibu bapa dan sedara-mara di kampung yang masih sihat.

Malaysia sekarang berada di fasa ini. Lebih kurang 2 minggu lepas, Itali berada di fasa ini.

Fasa Empat

Di Itali sedang melalui fasa ini. Peningkatan kes baru meningkat ribuan kes setiap hari. Keadaan semakin tidak terkawal.

Semua sekolah dan universiti di seluruh Itali di perintahkan tutup. Di hospital, bilangan doktor dan jururawat tidak mencukupi. Mereka terpaksa memanggil para doktor yang telah pencen untuk membantu. Tidak kurang itu, mereka memanggil pelajar jurusan perubatan dan nursing di tahun akhir untuk membantu di lapangan.

Mereka bekerja tanpa mengira waktu. Ada yang bekerja lebih dari 24 jam kerana kekurangan kaki tangan dan bilangan pesakit yang bertambah.

Ada di antara mereka yang memakai pampers di dalam pakaian mereka. Mereka tiada masa untuk ke tandas kerana setiap kali dibuka pakaian keselamatan itu, mereka akan terdedah dengan virus ke badan mereka. Itali sudah sampai ke fasa ini.

Fasa lima

10,000 rakyat Itali yang ‘melarikan’ diri ke kampung halaman masing masing untuk bercuti dengan keluarga.

Kesan mula terasa seperti ada satu gelombang yang besar. Selepas 10 hari mereka sampai di kampung halaman, virus COVID-19 tersebar secara meluas di seluruh Itali. Ibu bapa mereka mula dijangkiti virus ini.

Kes meningkat lagi sekali secara mendadak. Sudah ada doktor dan jururawat yang berjangkit dengan virus ini.

Hospital sudah penuh. Mereka terpaksa merawat pesakit di gudang, di stor dan khemah.

Bilangan pesakit yang kronik terutama daripada kalangan warga emas mula mengalami masalah pneumonia. Mereka memerlukan bantuan pernafasan tetapi bilangan tangki oksigen tidak mencukupi.

Doktor terpaksa memilih siapa yang perlu diselamatkan dan siapa yang akan mati. Keutamaan diberi kepada mereka yang mempunyai peluang rawatan yang tinggi untuk baik. Mereka yang sakit teruk, terpaksa dibiarkan mati.

Para doktor dan jururawat yang keletihan mula membuat video memohon rakyat untuk betul betul ‘lockdown’ di rumah.

Di Malaysia, jikalau yang balik kampung malam tadi mula menjadi penyebar COVID-19, kesan akan mula dirasai pada 1 April nanti. Pada fasa ini, masalah di Itali masih belum selesai.

Fasa enam

Peningkatan kes baru di seluruh negara meningkat mendadak. Tiga hari terakhir, jumlah kes baru melebihi 3,000 kes setiap hari.

Akhirnya 12 Mac lepas, enam hari lalu kerajaan Itali mengarahkan ‘total lockdown di seluruh negara.’

Mana-mana individu yang keluar dari rumah perlu ada certificate untuk keluar dengan tujuan yang kukuh. Sesiapa yang didapati bersalah keluar dari rumah tanpa alasan yang kukuh dikenakan denda 206 EURO.

Hanya dibenarkan keluar untuk beli makanan atau ke ke hospital sahaja.

Selepas perintah berkurung ni dimulakan enam hari yang lalu, kini baru total isolation berjaya dilakukan di seluruh Itali. Mereka yang sakit tidak akan menyebarkan penyakit ke luar. Kesan penurunan hanya akan dapat di lihat selepas 14 hari.

Jika dilihat di China, setiap hari kes baru turun secara mendadak. Ini disebabkan kerajaan China sudah mengeluarkan perintah ‘lockdown’ secara tegas.

Kepada rakyat Malaysia, belajarlah daripada kesilapan rakyat di Itali. Jangan ingat anda bebas dari COVID-19.

Semoga kita bukan penyebab kematian ibu bapa kita sebagai penyebar COVID-19 kepada mereka. Jika sudah pulang ke kampung, elakkan bertemu dengan rakan-rakan dan jiran tertangga.


Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan COVID-19, klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca