Buat pertama kalinya Malaysia berkongsi tempat teratas bersama Indonesia dalam Senarai Destinasi Pelancongan Mesra Islam oleh MasterCard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) yang sebelum ini Malaysia berada di tempat teratas selama 9 tahun berturut-turut.
Menurut laporan GMTI 2019, kedua-dua buah negara mendapat 78 markah dan terdapat 130 buah destinasi terpilih dalam senarai tersebut. Antara 10 negara teratas ialah Turki yang mendapat 75 markah manakala Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendapat 72 dan 71 markah di mana hanya berbeza 1 markah sahaja.
Selain itu, Qatar mendapat 68 markah dan Maghribi mempunyai perbezaan 1 markah dengan Qatar iaitu 67 markah. Negara Bahrain dan Oman berjaya mendapat 66 markah dan negara yang terakhir iaitu Brunei mendapat 65 markah.
Dalam kenyataan New Straits Times, MasterCard dan CrescentRating berkata negara Indonesia berjaya menduduki tangga teratas kerana usaha berterusan daripada Kementerian Pelancongan negara tersebut untuk melabur dalam industri pelancongan dan membangunkan infrastruktur mesra pelancong Islam.
Pada tahun 2018, Malaysia mendapat 80.6 markah dan pada tahun ini ia berkurangan sedikit manakala Indonesia dan UAE terikat pada tangga yang sama dengan 72.8 markah.
Singapura pula kekal sebagai destinasi pelancongan mesra Islam perdana oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada tahun ini, diikuti negara Thailand, United Kingdom (UK), Jepun dan Taiwan.
Indeks tersebut selari dengan kekukuhan dan pertumbuhan destinasi pelancongan mesra Islam dalam 4 bidang strategik iaitu akses, komunikasi, persekitaran dan perkhidmatan.