“Malaysia Contoh Terbaik Tangani COVID-19,” Video Mat Salih Ini Curi Perhatian Rakyat Kita

Sekiranya anda masih skeptikal terhadap arahan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mungkin kenyataan yang keluar daripada mulut Mat Salih ini mampu memberikan justifikasi yang diinginkan.

Dustin Pfundheller yang merupakan seorang pengembara dan juga bekas doktor gigi telah memuat naik satu video tentang kehebatan Malaysia dalam menangani wabak COVID-19 di akaun Facebook miliknya pada Sabtu.

Bukan sekadar melemparkan pujian semata-mata, malah Pfundheller turut kesal apabila ramai pihak termasuklah dirinya terlepas pandang akan kecekapan Malaysia mengawal penularan virus berkenaan.

“Malaysia pernah berada di tangga teratas dalam senarai jumlah jangkitan COVID-19 di Asia Tenggara. Tetapi kini jumlah pesakit semakin menurun.

Malaysia adalah contoh bagaimana kita semua boleh menangani keadaan ini. Bagaimana sebuah negara yang mempunyai kes yang banyak, melaksanakan langkah yang betul untuk mengelakkan virus terus merebak.

Sayangnya, tiada sesiapa bercakap tentang hal ini. Saya juga rasa bersalah kerana tidak memasukkan Malaysia dalam vlog senarai 15 negara terbaik dalam menangani COVID-19 yang saya muat naik sebelum ini,” kata Pfundheller dalam video yang berdurasi dua minit 56 saat itu.

Semasa artikel ini ditulis, video tersebut telah mencatat lebih 800,000 tontonan dan hampir 50,000 perkongsian.

Tinjauan kami di ruangan komen mendapati ia dibanjiri dengan ucapaan penghargaan dan terima kasih daripada rakyat Malaysia yang turut sama berbangga dengan pengiktirafan masyarakat luar terhadap usaha negara mengawal penyebaran COVID-19.

“Terima kasih, video ini benar-benar menggambarkan perbandingan statistik, kejayaan dan usaha negara kami untuk memerangi COVID-19. Pujian kepada kerajaan dan barisan hadapan,” coret Allfi Syah.

“Terima kasih kerana memaparkan tanah air saya yang sedang berusaha memerangi ‘musuh yang tidak kelihatan’ ini,” tulis Fara Ishak.

“Kami tidak dipandang di peringkat antarabangsa, tetapi tak mengapa kerana yang penting rakyat Malaysia dilindungi dan selamat, kami gembira kerana berjaya melakukan walaupun dalam senyap,” kata Azwan Zwan.

Untuk baca artikel lain tentang penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca