Malaysia Berada Di Tangga Ke-16 Negara Paling Aman Di Dunia

Berdasarkan laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2019, Malaysia kini berada di tangga ke-16 negara paling aman di dunia.

Menurut Menteri Pertahanan iaitu Mohamad Sabu, laporan GPI itu turut mengiktiraf Malaysia sebagai negara ketiga paling aman di Asia Tenggara selepas Jepun dan Singapura.

“Laporan GPI ini adalah penting dan perlu diketengahkan kerana ia akan menarik perhatian terutama pelabur dan pelancong asing untuk datang,” kata Mohamad Sabu.

“Sekarang, kita berada di kedudukan yang baik berbanding tangga ke-26 pada 2018 dan ia merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan. Kita berharap ia akan berterusan seperti ini pada masa akan datang,” kata beliau semasa menjadi tetamu program Bicara Naratif berkenaan Pencapaian Kementerian Pertahanan Sepanjang 2019 yang disiarkan secara langsung di TV1 pada Isnin malam.

Pada masa sama, Mohamad Sabu mengatakan bahawa kementerian itu juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan soal keselamatan di Sabah dan Sarawak bagi mengekang ancaman anasir luar dan pencerobohan termasuk penculikan yang kerap berlaku di sana.

Difahamkan, keselamatan di Sabah dan Sarawak adalah terkawal dengan pelaksanaan pengoperasian daripada ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Kami sentiasa bertanya kedudukan keselamatan selain bagaimana ia perlu diperlengkapkan dengan peralatan terutama di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pusat Bantuan Operasi Udara di Tawau bagi memastikan kepentingan keselamatan di Sabah dan Sarawak sentiasa terjamin,” ujar Mohamad Sabu.

“Malah, ATM juga masih mengekalkan komitmen dan peranannya bersama ESSCOM dengan memperkukuhkan kawalan keselamatan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE),” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, kerjasama dengan Indonesia dan Filipina turut diperkukuh bagi membanteras permasalahan tersebut.

“Bahkan, hubungan erat itu menyebabkan berlaku sedikit kekurangan jenayah di kawasan yang dianggap ‘panas’ selama ini,” kata Mohamad Sabu.

Sementara itu, Mohamad Sabu menyifatkan tahun 2020 sebagai tahun persediaan dalam menghadapi permulaan Kertas Putih Pertahanan (KPP) di mana ia merupakan rangka hala tuju industri pertahanan dan keselamatan negara dalam menangani ancaman yang semakin mencabar dan canggih.

“KPP akan menjadi panduan kepada pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun akan datang. Ia adalah dokumen terbuka yang dibangunkan bagi melibatkan rakyat dan pihak berkepentingan di dalam isu pertahanan negara,” jelas beliau.

Untuk rekod, KPP yang menggariskan dua peranan ATM melibatkan peranan utama dan sekunder dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu.

Untuk baca artikel lain yang membincangkan soal negara kita, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca