KONGSIKAN

Cadangan untuk memperhebatkan lagi penganjuran pertandingan e-sukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disambut baik penggemar sukan berasaskan permainan video itu.

Rata-rata pengunjung yang hadir di pertandingan Dota 2 (The Kuala Lumpur Major 2018) menyokong cadangan itu demi pembangunan arena sukan berkenaan.

Penuntut sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Ahmad Danial Ahmad Syukur berkata dengan adanya penganjuran pertandingan antarabangsa dalam negara, ia dapat membuka mata selain memberi banyak pengetahuan baharu kepada komuniti e-sukan tempatan.

“Satu cadangan yang baik dan saya sokong jika ia diteruskan pada masa hadapan sebab banyak input baharu mengenai e-sukan di sini, dan ini adalah pendedahan yang baik buat penggemarnya,” kata penuntut berusia 22 tahun yang merupakan penggemar e-sukan.

Syed Saddiq  memberi bayangan pertandingan e-sukan akan terus dianjurkan di negara pada masa hadapan.

“Ini kali pertama dan saya rasa ia bukan kali terakhir. Kita nak bawa lagi banyak pertandingan e-sukan peringkat antarabangsa di Malaysia kerana ia dapat menarik minat bukan sahaja penyertaan rakyat Malaysia tetapi dari luar negara,” katanya.

Syed Saddiq turut meluangkan masa di The KL Major yang berlangsung di Axiata Arena semalam.

The KL Major  merupakan pertandingan e-sukan antarabangsa yang pertama kali dianjurkan di Malaysia berlangsung selama tiga hari bermula dari 17 November sehingga 19 November. Pertandingan ini  menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4.1 juta).

Juara The KL Major akan membawa pulang hadiah kemenangan AS$350,000 (RM1.4 juta) di samping 4,950 Dota Pro Curcuit Point, yang akan membawa mereka menghampiri pusingan kelayakan kejohanan The International 2019 di Shanghai, China

Sumber : Bernama