Malang Tidak Berbau, 4 Orang Patah Kaki Selepas Lif Di PPR Kerinchi Terhempas Dari Tingkat 5

Malang itu sememangnya tidak berbau. Lif sebuah pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur telah terhempas dari tingkat lima bangunan itu dan insiden tersebut menyebabkan lapan orang mangsa mengalami kecederaan.

Berdasarkan kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur, pihak mereka menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.36 petang pada Jumaat.

“Seramai 18 orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dan Seputeh dikejarkan ke lokasi kejadian.”

“Setiba di lokasi, bomba mendapati sebuah lif terhempas dari tingkat lima ke tingkat bawah bangunan dan terdapat lapan mangsa yang terperangkap di dalam lif berkenaan.”

“Mereka terdiri daripada enam lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.”

Menurut kenyataan itu lagi, empat orang mangsa lelaki termasuk kanak-kanak telah mengalami kecederaan patah kaki manakala mangsa-mangsa yang lain cedera di bahagian pergelangan kaki.

“Kesemua mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut,” jelas kenyataan itu.

Setakat ini, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca