Maksud Penyakit Vertigo Dan Bagaimana Ia Menyerang

Mungkin ramai daripada kita yang tidak pernah dengar atau mengetahui tentang penyakit vertigo ini.

Sebenarnya, ramai di antara kita yang pernah mengalami situasi di mana diri sendiri, persekitaran atau kedua-duanya tiba-tiba bergerak atau berpusing sehingga membuatkan diri berasa loya dan hilang keseimbangan hingga rebah ke lantai.

Menurut Dr. Shasa Aziz yang merupakan pakar Audiologis Eartistic, beliau menjelaskan bahawa penyakit vertigo ini terjadi disebabkan keadaan yang menjejaskan bahagian dalam telinga atau sebahagian daripada otak manusia yang melibatkan keseimbangan badan.

Menurut Dr. Shasa, vertigo terbahagi kepada dua iaitu periperal dan central.

1. Vertigo Periperal

Vertigo periperal adalah disebabkan oleh masalah atau kecederaan di dalam bahagian telinga iaitu Benign paroxysmal positional vertigo (BPPV) yang berkomunikasi dengan otak untuk mengawal keseimbangan.

Ia boleh terganggu atau bermasalah disebabkan pengambilan ubat-ubatan atau pernah mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

2. Vertigo Central

Vertigo jenis ini adalah disebabkan oleh masalah pada bahagian otak yang disebut cerebellum (yang mengawal keseimbangan badan manusia) yang memberi signal kepada tubuh.

“Sebenarnya ramai daripada kita yang tidak sedar sakit kepala yang kita alami sehingga rasa berpusing dan hilang keseimbangan badan adalah gejala vertigo.

“Malah ramai merasakan situasi itu sebagai remeh sama ada ia hanya berlaku sekali atau merasakan ada sebab lain menyebabkan mereka berasa berpusing, loya serta hilang keseimbangan.

“Tetapi jika dibiarkan ia boleh membahayakan kesihatan dan sangat penting untuk mengenali punca, bahaya dan cara mengubatinya,” jelas Dr. Shasa.

Dr. Shasa juga menjelaskan bahawa selain diri dan persekitaran rasa berpusing dan hilang keseimbangan, gejala penyakit itu boleh bertambah parah sekiranya rasa sensasi berpusing itu berulang dan tidak berhenti walaupun pesakit dalam keadaan berdiri dan tidak bergerak.

Gejala vertigo lain termasuklah:

1. Mual dan muntah-muntah

2. Telinga berdengung dan hilang pendengaran

3. Rebah akibat sensasi berpusing

4. Berpeluh

5. Pergerakan anak mata yang tidak normal

Kebiasaannya, gejala ini akan hilang dan boleh kembali dalam beberapa minit, jam atau beberapa hari. Walau bagaimanapun, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital sekiranya pesakit mula menunjukkan kesukaran untuk bercakap, anggota tubuh lemah, penglihatan kabur, pergerakan mata tidak normal, kesukaran berjalan dan demam.

Menurut Dr. Shasa lagi, vertigo tidak diboleh dianggap sebagai penyakit biasa tanpa sebarang rawatan kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

Jelasnya, vertigo boleh memberi kesan kepada pendengaran sehingga ada sesetengah kes pesakit hilang deria pendengaran.

Terdapat juga serangan vertigo yang berlaku selama beberapa hari sehingga pesakit tidak mampu bergerak dan tiada koordinasi pada salah satu bahagian tubuh. Ini adalah petanda pesakit diserang penyakit angin ahmar atau masalah berkaitan otak.

“Vertigo juga boleh menyebabkan kehidupan normal seseorang bertukar menjadi beban kerana ia boleh mengganggu aktiviti harian memandangkan sukar untuk berdiri atau berjalan.

“Apabila sukar berdiri atau berjalan, pesakit mudah rebah kerana hilang keseimbangan badan dan jika tidak kena pada gaya, pesakit boleh mengalami kecederaan seperti patah tulang punggung atau tangan,” jelasnya.

Pesakit vertigo juga tidak digalakkan untuk memandu kerana vertigo boleh menyerang dan pesakit akan hilang kawalan dan menyebabkan kemalangan.

Berikut adalah beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko penyakit vertigo:

1. Wanita

2. Pernah mengalami kecederaan di kepala

3. Sering mengalami tekanan

4. Jangkitan dalam telinga

5. Pengambilan alkohol

6. Pesakit diabetes

7. Penggunaan ubat-ubatan tertentu dalam jangka masa panjang

8. Mereka yang berusia lebih 50 tahun

9. Sejarah keluarga dengan penyakit vertigo

Pesakit atau mereka yang berisiko terkena serangan vertigo dinasihatkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat bagi membendung diri daripada penyakit ini.

Menurut Dr. Shasa, adalah sangat penting untuk menurunkan risiko vertigo termasuk memantau tekanan darah, kolestrol, berat badan dan kandungan gula dalam darah sentiasa berada di paras normal terutamanya bagi mereka yang berisiko.

Selain itu, elakkan pergerakan secara tiba-tiba agar tidak terjatuh dan segera duduk sekiranya vertigo menyerang.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca