Maksud Kedudukan Tahi Lalat Dan Rahsia Di Sebaliknya

Pernakah anda terfikir tentang maksud dan rahsia di sebalik kedudukan tahi lalat pada tubuh dan wajah seseorang manusia?

Meskipun perkara ini boleh dianggap sebagai tahyul namun, masih ada segelintir masyarakat yang mempercayainya. Malah, rahsia di sebalik kedudukan sesuatu tahi lalat ini dikatakan berkait rapat dengan personaliti seseorang.

Berikut merupakan kedudukan tahi lalat dan maksud di sebaliknya.

1. Tahi lalat di bawah kening

Jika anda mempunyai tahi lalat di bawah kening, ia bermaksud anda seorang yang kreatif dan cergas. Menurut kepercayaan sesetengah individu, mereka yang mempunyai tahi lalat berkemungkinan merupakan seorang yang berbakat dalam bidang seni dan sukan.

2. Tahi lalat di bawah kelopak mata

Menurut kajian, peratusan untuk seseorang individu itu mempunyai tahi lalat di bawah kelopak matanya adalah sangat tipis. Namun begitu, bagi mereka yang dilahirkan dengannya, ia boleh membawa maksud yang berbeza berdasarkan kedudukannya.

Menurut seorang pakar, sekiranya terdapat tahi lalat berada di bawah kelopak mata kanan, anda mungkin memperoleh wang dan mudah untuk menjadi seorang yang kaya.

Tetapi sebaliknya berlaku jika anda mempunyai tahi lalat di bawah kelopak mata di sebelah kiri yang mungkin membawa maksud anda adalah seseorang yang sombong.

3. Tahi lalat pada hidung

Bagi anda yang tertanya-tanya akan maksud tahi lalat di bahagian hidung, ia dikatakan memberi makna bahawa seseorang itu pandai menggoda dan merayu.

Menurut pengamal perubatan tradisional, individu yang mempunyai tahi lalat di bahagian ini juga membawa maksud anda adalah seorang yang pemarah dan senang hilang kawalan.

4. Tahi lalat di pipi

Terdapat beberapa pendapat yang mengatakan bahawa individu yang mempunyai tahi lalat di pipi adalah seseorang yang comel. Hal ini dikatakan sebegitu kerana wanita yang mempunyai tahi lalat di bahagian ini sentiasa menjadi tarikan kaum lelaki.

Selain itu, tahi lalat di bahagian pipi juga membawa maksud anda mempunyai kawan yang ramai meskipun anda adalah seorang pemalu.

5. Tahi lalat di bibir

Tahi lalat di bibir menggambarkan personaliti anda yang bijak, baik hati, peramah dan cepat mesra. Selain itu, ia turut dipercayai anda sangat disayangi dan disegani oleh orang sekeliling.

Bukan itu sahaja, mereka yang mempunyai tahi lalat di bahagian bibir ini juga dipercayai pandai berkata-kata manis dan tidak mudah menyerah kalah.

6. Tahi lalat di telinga

Bagi mereka yang mempunyai tahi lalat di telinga, ia merupakan petanda anda adalah seseorang yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap keluarga. Ini bermakna anda menganggap keluarga adalah kunci bagi kebahagiaan anda.

7. Tahi lalat di leher

Individu yang mempunyai taik lalat di leher dikatakan mempunyai personaliti yang baik. Selain itu, anda juga mungkin seseorang yang kuat daya ingatan, suka membaca, sukakan cabaran dan juga rajin.

Itu merupakan antara maksud dan rahsia tentang kedudukan tahi lalat yang dapat dikongsikan. Bagi anda yang tidak mempercayai perkara seperti ini, anggaplah ia sebagai satu hiburan.

Penulis:

  • Nor Shuhada binti Mohd Zamri adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Untuk membaca artikel lain berkaitan kepercayaan, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca