Makhluk Ghaib Berkahwin Dengan Manusia, Ini Kisah 4 Makhluk Mistik Yang Digeruni Rakyat Jepun

Terdapat banyak cara untuk mengenali sesebuah budaya. Membaca kisah rakyat sesebuah negara tersebut adalah salah satu pendekatan yang unik dan menjadi langkah pertama untuk mengenali mereka. Kebanyakan kisah mereka juga sangat menarik. Oni (syaitan) dan Yurei (hantu) memainkan peranan dalam budaya Jepun semenjak ribuan tahun yang lalu.

Seperti mana-mana budaya di dunia ini, Jepun juga mempunyai kisah rakyat mereka yang tersendiri. Namun, bagi masyarakat Barat, kisah rakyatnya sering dikitar semula daripada variasi yang sama seperti zombi, ahli sihir, bunian dan naga. Daripada beratus-ratus Yōkai atau makhluk ghaib daripada kisah rakyat mereka, terdapat beberapa makhluk yang dianggap paling menarik dan aneh.

Berikut kami kongsikan 4 makhluk mistik yang digeruni daripada kisah rakyat Jepun:

1. Shuten Dōji

Shuten Dōji digambarkan sebagai makhluk mempunyai tinggi lebih daripada 50 kaki, berbadan merah, mempunyai 5 tanduk dan memiliki 15 mata. Dalam legenda yang direkodkan pada zaman Medieval, pahlawan Raikō dan Hōshō menyusup masuk ke dalam sarang Shuten Dōji dengan menyamar sebagai Yamabushi (paderi gunung) untuk membebaskan beberapa wanita yang diculik.

Syaitan ini menyambut mereka dengan jamuan daging dan darah manusia. Pahlawan-pahlawan yang menyamar tersebut menawarkan Shuten Dōji Sake iaitu sejenis arak di Jepun yang sudah dicampur dengan ubat tidur. Selepas syaitan itu pengsan, para pahlawan tersebut memenggal kepala Shuten Dōji serta membunuh syaitan bawahan Shuten Dōji yang lain dan kemudiannya membebaskan semua tahanan.

2. Kappa

Reptilia Humanoid bernama Kappa dikatakan mendiami kolam dan sungai Jepun. Mereka pendek dan bersisik, mempunyai paruh sebagai mulut dan mempunyai mangkuk di atas kepala mereka yang mengandungi air. Jika mangkuk tersebut kosong tanpa setitis air, mereka dikatakan akan kehilangan kuasa ajaib mereka.

Walaupun pada dasarnya mereka merupakan makhluk yang jahat, Kappa juga merupakan makhluk yang sangat bersopan santun. Sekiranya mereka dilewati oleh orang sekeliling, mereka turut menundukkan diri sebagai tanda hormat. Namun, mereka akan kehilangan air dalam mangkuk mereka. Sekiranya individu yang lalu-lalang itu mengisi semula mangkuk di kepala Kappa, mereka akan menjadi sahabat dan sekutu seumur hidup.

Kappa menenggelamkan kanak-kanak, minum darah mangsa serta merogol wanita. Walau bagaimanapun, mereka juga mempunyai 2 obsesi lain iaitu timun, gusti sumo dan shirikodama atau dikenali sebagai permata yang mengandungi jiwa. Shirikodama itu terletak tidak lain tidak bukan di dalam anus manusia.

3. Yuki Onna

Yuki Onna diterjemahkan sebagai ‘wanita salji’ dalam bahasa Melayu dan merujuk kepada wanita yang pucat dan mampu membekukan mangsa-mangsanya dengan nafas berais. Cerita yokai Jepun yang melibatkannya telah lama wujud, tetapi versi yang paling terkenal adalah versi yang disemak oleh penulis abad ke-19, Lafcadio Hearn.

Dalam versi Hearn, 2 orang penebang kayu, seorang warga tua dan seorang pemuda terlibat dalam kemalangan yang membabitkan Yuki Onna sehingga mereka terperangkap di dalam hutan yang dilanda ribut salji. Sementara penebang kayu dan warga tua itu dibekukan hingga mati oleh makhluk berkenaan, hanya seorang pemuda yang bernama Minokichi diselamatkan oleh Yuki Onna.

Sebelum meninggalkan hutan tersebut, Yuki Onna memberi amaran kepada Minokichi agar merahsiakan pertemuan mereka. Sekiranya dia didapati pecah amanah, Yuki Onna akan kembali untuk membunuhnya.

Beberapa tahun kemudian, Minokichi berkahwin dengan seorang wanita yang cantik bernama Oyuki dan mereka hidup dengan bahagia. Oyuki merupakan seorang ibu dan isteri yang setia. Namun, Oyuki tidak menunjukkan sebarang penuaan walaupun sudah lama hidup bersama suaminya membuatkan identitinya menjadi misteri.

Suatu petang, selepas anak-anak mereka tidur, Minokichi secara tidak sengaja mendedahkan pertemuannya dengan Yuki Onna. Minokichi mempersoalkan sama ada ia adalah mimpi atau realiti. Selepas itu, Oyuki berdiri dan mendedahkan rupanya sebenar, iaitu Yuki Onna.

Selepas mengingatkan Minokichi tentang amarannya sebelum ini, dia seolah-olah ingin membunuh suaminya tetapi akhirnya menyisihkan hidupnya demi anak-anak mereka. Selepas itu, Yuki Onna lenyap dan tidak dapat ditemui lagi.

4. Tengu

Tengu merupakan goblin gunung api yang memperdaya manusia. Ia sering kali diceritakan dalam kisah rakyat Jepun sehingga tidak terhitung jumlahnya.

Mereka pada asalnya digambarkan seperti burung iaitu dengan sayap dan paruh, tetapi paruh mereka sering digambarkan sebagai hidung yang besar. Mereka dikenali sebagai makhluk yang ingin membawa orang keluar daripada fahaman Buddhisme. Tengu ini juga mengikat paderi di pokok-pokok tinggi dan menara, memulakan kebakaran di kuil-kuil serta menculik kanak-kanak.

Banyak legenda menyatakan Tengu ialah paderi munafik yang kini harus menjalani sisa baki kehidupan mereka sebagai goblin gunung sebagai karma atas dosa mereka. Penduduk tempatan membuat persembahan untuk Tengu untuk mengelakkan bencana daripada mereka dan masih ada perayaan di Jepun yang dikhususkan untuk Tengu sehingga hari ini.

Penulis

  • Atikah Zakaria adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca