Satu makhluk mumia kuno yang menyerupai ikan duyung yang ditemui sekitar abad ke-18 akhirnya akan dianalisa oleh saintis.
Ia didakwa ditangkap sekitar tahun 1736 hingga 1741 di Lautan Pasifik iaitu pulau Shikoku Jepun. Kini ia berada di sebuah kuil di bandar Asakuchi.

Makhluk dengan berwajah seperti manusia dan mempunyai ekor itu telah membingungkan pakar selama berabad lamanya.
Selain itu, makhluk tersebut turut mempunyai dua tangan yang menjangkau ke arah mukanya. Beberapa helaian rambut masih kelihatan di kepalanya dan mempunyai sisa gigi tajam serta runcing di mulutnya.
Penyelidik dari Universiti Sains dan Seni Kurashiki telah mengambil mumia itu untuk imbasan CT dalam usaha untuk membongkar misterinya.
Hiroshi Kinoshita dari Persatuan Cerita Rakyat Okayama (Okayama Folklore Society) menjelaskan bahawa mumia tersebut mempunyai signifikasi dari sudut agama.
“Ikan duyung Jepun mempunyai legenda keabadian,” katanya.
“Dikatakan bahawa jika anda makan daging ikan duyung, anda tidak akan mati. Terdapat legenda di banyak bahagian Jepun bahawa seorang wanita secara tidak sengaja memakan daging ikan duyung dan hidup selama 800 tahun.
“Lagenda ‘Yao-Bikuni’ ini juga dipelihara berhampiran kuil tempat mumia ikan duyung ditemui.
“Saya mendengar bahawa sesetengah orang, mempercayai legenda, pernah makan sisik mumia ikan duyung.”
Walau bagaimanapun, Kinoshita mengambil pandangan yang lebih pragmatik tentang makhluk itu.
Beliau percaya ia telah dihasilkan pada satu ketika dahulu semasa zaman Edo sekitar tahun 1603 hingga 1867.
“Saya fikir ia diperbuat daripada haiwan hidup dan kami ingin mengenal pasti melalui imbasan CT atau ujian DNA.
“Ia kelihatan seperti ikan dengan sisik di bahagian bawah badan dan primata dengan tangan dan muka di bahagian atas badan.”
Dalam cerita rakyat Jepun, terdapat makhluk yang dipanggil Ningyo yang digambarkan mempunyai mulut monyet dengan gigi seperti ikan dan badan yang dilitupi sisik emas.
Susulan itu, terdapat satu pandangan bahawa mumia yang ditemui ini sebenarnya dicipta daripada badan dan kepala monyet yang dijahit pada bahagian belakang ikan.
Ia juga dikatakan ditangkap di luar pantai Fiji dan kemudian dibeli daripada kelasi Jepun pada zaman dahulu.
Sementara itu, para saintis yang memeriksa mumia tersebut akan mendedahkan penemuan mereka pada akhir tahun ini.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: