Makanan Dimasak Di Dalam Buluh, Ini 6 Hidangan Popular Di Sarawak

Negeri Sarawak atau turut digelar Land Of the Hornbills bukan sahaja kaya dengan pelbagai kaum malah mempunyai aneka pilihan makanan kebudayaan dan tradisional yang banyak. Sebut sahaja makanan orang Sarawak pasti semua ingat kek lapis, mee kolok,ayam pansuh, umai dan banyak lagi.

Pemakanan ini bukan sahaja dihidangkan semasa perayaan sahaja namun boleh dihidangkan bila-bila masa sahaja. Mungkin sesetengah nama hidangan ini adakalanya kedengaran agak pelik, namun rasanya pasti akan membuatkan anda terpesona.

1. Kek lapis

Berkemungkinan merupakan makanan paling popular di Sarawak, kek lapis ini boleh dilihat dari segi corak atau warna yang digunakan untuk menarik perhatian pembeli. Harga hidangan ini bergantung kepada saiz potongan kek, jenis corak, perisa dan kepayahan membuat kek lapis Sarawak.

Semakin besar kek lapis dihasilkan menyebabkan ia semakin sukar untuk dibentuk sekaligus menjadikan harganya semakin tinggi.

2. Laksa Sarawak

Laksa Sarawak ini 100 peratus berbeza dengan laksa di Semenanjung Malaysia baik dari segi laksa atau kuahnya. Walaupun kuahnya kelihatan sama seperti kuah kari, rasanya agak berlemak. Makanan ini biasanya dihidangkan dengan daging ayam rebus yang dicarik-carik, tauge rebus separuh masak, udang rebus, hirisan telur goreng dan beberapa bahan lain. Kadangkala, isi ikan akan menggantikan isi ayam tersebut.

Semasa dihidangkan, laksa Sarawak akan dihidangkan dengan sambal belacan dan limau kasturi.

3. Mee kolok

Walaupun popular di Sarawak, hidangan mee kolok sebenarnya bukanlah berasal daripada negeri ini. Makanan ini telah dibawa masuk oleh kaum Cina ketika mereka berhijrah ke Sarawak.

Mee kolok turut dikenali dengan pelbagai nama lain mengikut bangsa tertentu. Kaum Cina menggelar makanan ini sebaai kampua dan dipanggil mee rankai atau mi kering oleh masyarakat Iban.

Kebiasaannya, mee kolok sering dihidangkan di restoran-restoran cina. Walaupun ada segelintir kaum melayu Sarawak yang turut menghasilkan makanan ini, rasanya agak berbeza dengan mi yang dihasilkan masyarakat Cina.

3. Pansuh

Hidangan yang dipelopori oleh masyarakat Iban ini dimasak di dalam buluh. Cara masakan pansuh ini sama seperti memasak lemang. Manuk atau bermaksud ayam merupakan bahan utama yang perlu disediakan untuk membuat pansuh. Namun, ikan dan pucuk ubi juga boleh digunakan.

Pansuh amat mudah dimasak ekoran ia tidak memerlukan bahan yang banyak. Apabila tiba musim perayaan seperti Hari Gawai, hidangan ini pasti akan disediakan.

4. Tebaloi

Tebaloi ialah satu produk makanan tradisional yang kini mendapat tempat di hati para pelancong asing. Kuih ini merupakan sejenis biskut sagu yang merupakan sejenis makanan tradisi masyarakat Melanau. Pada masa dahulu, kuih tebaloi ini dihasilkan secara kecil-kecilan oleh kaum wanita di Mukah dan Dalat. Cara pembuatan kuih ini juga semuanya secara manual dan menggunakan alat tradisional. Kini, teknologi yang semakin maju telah memudahkan kuih tebaloi dihasilkan.

Kuih ini banyak dieksport ke luar negara dan merupakan salah satu makanan tradisional Sarawak yang mempunyai permintaan yang tinggi. Kini, kuih tebaloi ini mempunyai banyak perisa seperti perisa strawberri, pandan, dan coklat.

5. Umai

Umai merupakan makanan tradisi kaum Melanau dan sering menjadi santapan para nelayan. Pada dasarnya, umai ini dihasilkan daripada makanan mentah seperti ikan yang dihiris kecil yang dicampurkan dengan bawang, dan limau. Terdapat juga dicampur dengan hirisan cili mentah dan beberapa bahan sampingan lain. Umai yang paling biasa dijumpai adalah Umai Ikan.

6. Penganan

Penganan merupakan kuih yang dibuat menggunakan tepung gandum atau beras dan gula Melaka. Kuih ini sangat digemari oleh masyarakat Iban. Cara penghasilan hidangan ini juga sangatlah mudah dan tidak menggunakan bahan yang banyak. Kuih ini selalunya dihidangkan ketika perayaan Gawai atau perayaan lain.

Kesimpulannya, makanan Sarawak ini melambangkan kebudayaan masyarakatnya. Makanan-makanan ini amatlah istimewa sehingga boleh menarik pelancong dari luar negara dan di dalam negara untuk menikmatinya. Jadi, tunggu apa lagi? Marilah datang ke Sarawak untuk menikmati sendiri hidangan-hidangan ini.

Penulis

• Florence Anak Lugum adalah pelajar Fakuliti Filem, Teater dan Animasi
• Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri,
Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca