Sejauh manakah anda sanggup lakukan untuk terus hidup? Adakah anda sanggup buat apa sahaja termasuk memakan daging manusia demi kelangsungan hidup? Bagi sesetengah manusia, soalan itu mungkin berada di luar kemampuan fikiran mereka namun tidak bagi Roberto Canessa.
Pada 1972, Roberto Canessa yang berusia 19 tahun merupakan pelajar perubatan yang menemani satu pasukan ragbi ke Chile bagi menghadiri satu perlawanan sukan. Pesawat terbabit membawa 45 orang penumpang di mana 19 daripadanya adalah ahli pasukan ragbi. Manakala 26 yang lain terdiri daripada ahli keluarga, sahabat dan penyokong pasukan berkenaan.
Walau bagaimanapun, juruterbang tidak berpengalaman yang memandu pesawat Uruguayan Air Force Flight 571 itu menyangka mereka sudah tiba di Curicó, Chile. Walaupun radar menyatakan sebaliknya, juruterbang terbabit menuju ke utara dan mula melakukan prosedur pendaratan. Perkara itu telah menyebabkan pesawat itu terlanggar sebuah gunung sebelum akhirnya terhempas di puncak pergunungan bersalji.
Roberto terselamat daripada kemalangan terbabit bersama 28 orang penumpang lain. Namun, beberapa individu lain tidaklah bernasib baik. Ada di antara mereka yang cedera parah akibat tertusuk serpihan pesawat. Malah, ada juga yang sudah tidak bernyawa.
Dalam masa beberapa hari mereka terperangkap di pergunungan berkenaan, beberapa penumpang lain meninggal dunia akibat diserang hipertermia ekoran suhu persekitaran yang berada di bawah takat beku. Ada juga yang mati setelah kecederaan mereka gagal diberi rawatan segera. Keadaan menjadi semakin buruk pada sebelah malam apabila satu runtuhan salji telah mengorbankan lapan penumpang lain.
Bagai jatuh ditimpa tangga, penumpang yang masih hidup telah terdengar satu perkhabaran melalui sebuah radio transistor yang mengatakan usaha mencari dan menyelamat mereka sudah diberhentikanpada hari ke-10 kemalangan.
Bagi Roberto dan penumpang lain yang masih hidup, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi melawan keadaan cuaca yang ekstrem. Untuk memanaskan badan, mereka membuat selimut daripada kerusi pesawat. Selain itu, aluminium dari badan pesawat digunakan untuk mencairkan salji supaya mereka dapat membasahkan tekak. Namun begitu, Roberto menyedari sesuatu yang penting, tidak ada satu pun makanan boleh dijumpai di kawasan pergunungan terbabit.
Roberto dan 15 penumpang lain hanya minum salji yang dicairkan untuk meneruskan hidup. Semakin lama, mereka mula menjadi sangat lemah dek kekurangan nutrisi.
Oleh kerana terlalu terdesak, Roberto dan penumpang lain beralih kepada satu-satunya perkara yang masih tinggal iaitu mayat rakan-rakan mereka.
Dalam buku penulisannya bertajuk I Had to Survive, Roberto menulis mereka tidak punya pilihan lain.
“Kami harus makan mayat-mayat ini untuk hidup. Bagi akal fikiran manusia waras, ia mungkin kedengaran keterlaluan namun kami tidak ada cara lain.”
“Ia perkara yang amat susah. Mulut saya tidak mahu terbuka saat saya menyuakan daging rakan saya. Saya rasa sungguh teruk dan sedih kerana terpaksa melakukannya,” ujar Roberto.
Tambah Roberto lagi, dia dan penumpang yang lain cuba untuk menenangkan diri masing-masing dengan membuat satu pakatan.
“Kami membuat satu pakatan iaitu sekiranya sesiapa antara kami mati, kami akan berasa gembira dan rela badan kami menjadi makanan yang lain demi memastikan kelangsungan hidup,” kata Roberto.
Dengan memakan daging mereka yang sudah meninggal, Roberto berkata ia membuatkan dirinya berasa sangat dekat dengan si mati. Menurutnya lagi, keputusan itu membuatkan keadaan dirinya dan yang lain bertambah baik dek keperluan nutrisi badan akhirnya dipenuhi.
Roberto menambah, dia amat bersyukur kerana dengan memakan mayat penumpang lain, dia dan seorang penumpang lain, Nando Parrado berjaya berjalan selama 10 hari sebelum akhirnya menemui seorang pembawa barang warga Chile bernama Sergio Catalán yang membawa mereka menaiki keldai selama 10 jam untuk mendapatkan bantuan.
Akhirnya, pada 23 Disember 1972, setelah lebih dua bulan terkandas di pergunungan salji tandus, 16 orang baki penumpang pesawat Uruguayan Air Force Flight 571 berjaya diselamatkan.
Kisah kelangsungan hidup mereka ini digelar El Milagro de los Andes dalam bahasa Latin yang membawa maksud Miracle in The Andes. Pengalaman mereka juga telah menjadi inspirasi kepada beberapa buku dan filem seperti filem Alive (1993) arahan Frank Marshall.
Roberto Canessa kini dilaporkan sudah menjadi seorang pakar kardiologi kanak-kanak. Tugas terbabit digalasnya sebagai cara untuk ‘membalas dendam’ kepada kematian yang hampir menjemputnya dan 15 yang lain semasa di pergunungan berkenaan.