Berniaga di dalam kandang? Biar betul? Jika anda pernah belajar ataupun sedang belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana, Shah Alam, sudah pasti anda akan sinonim dengan kandang ini. Kandang yang dimaksudkan bukanlah kandang lembu, kandang kambing mahupun kandang harimau. Kandang ini sebenarnya tempat makan yang terdapat di UiTM Puncak Perdana ini.
Di kandang ini terdapat banyak kedai makan yang menjual pelbagai makanan termasuklah roti canai, bakso, nasi ayam, nasi tomato dan banyak lagi. Jika anda pelajar di UiTM Puncak Perdana, sudah pasti setiap hari anda ke kandang. Hal ini demikian kerana kandang ini adalah syurga makanan bagi warga kampus ini.
Kenapa pula nama dia kandang? Tempat makan ini dinamakan kandang kerana kawasannya yang tertutup seakan-akan kalian berada di dalam kandang. Kandang ini berada dalam keadaan tertutup kerana terdapat kawasan pembinaan di kawasan sekitarnya.
Sekiranya kandang ini berada dalam keadaan terbuka, sudah pasti debu dari kawasan pembinaan tersebut akan masuk ke dalamnya. Malah, mungkin tidak sesuai untuk dijadikan tempat makan.
Kandang ini menjadi pilihan utama bagi pelajar mahupun staf di universiti ini. Gerai-gerai yang terdapat di kandang ini dibuka seawal jam 7 pagi. Jika ditanya kepada pelajar-pelajar di universiti ini, sudah pasti mereka ada pilihan gerai yang mereka suka.
Sekiranya anda berkesempatan dan anda ingin merasakan sendiri pengalaman makan di dalam kandang, jemputlah datang ke UiTM Puncak Perdana.
Penulis
- Shahrul Azfar Badarzaman adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.