Mahu Penuhi Kehendak Perancangan Bandar, Lebih 100 Kubur Muslim Ughyur Dimusnahkan China

Krisis penindasan etnik Ughyur di China dikatakan sudah mencapai tahap baharu apabila China dilaporkan telah memusnahkan lebih 100 kuburan Muslim Ughyur dalam satu usaha yang digambarkan sebagai kempen rejim Komunis untuk menghapuskan budaya Muslim minoriti di negara itu.

Sumber: Taiwan News

Ratusan imej satelit memaparkan imej tanah perkuburan di barat Xinjiang yang kini sudah dihapuskan. Lebih menyedihkan apabila sesetengahnya sudah ditukarkan menjadi tempat parkir kereta dan taman permainan kanak-kanak.

Penyampai berita warga Amerika Syarikat berkata, majoriti tanah perkuburan yang menjadi tempat persemadian akhir etnik Ughyur sejak zaman dahulu sudah musnah hanya dalam masa dua tahun.

Menurut Aziz Isa Elkun yakni seorang penyajak Ughyur yang sudah melarikan diri daripada daerah itu semenjak 20 tahun lalu menyifatkan kemusnahan tanah perkuburan itu sebagai perkara yang sangat menggemparkan.

“Saya sering ‘melawat’ kubur bapa melalui aplikasi Google Earth ekoran saya kini menetap di London. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat gambar satelit yang memaparkan imej kawasan itu kini sudah menjadi sebuah padang,” ujarnya.

Sementara itu, China dilaporkan tidak menafikan perlakuan keji tersebut. Tambah seorang ahli kerajaan, salah satu daripada tanah perkuburan terbabit sudah dipindahkan kerana mahu memenuhi kehendak perancangan bandar dan mempromosikan pembinaan.

“Kerajaan di Xinjiang sangat menghormati adat semua kaum dan kami memberi jaminan kebebasan kepada semua kumpulan etnik untuk memilih kubur dan cara pengebumian,” ujar seorang jurucakap bagi Beijing.

Menurut pengarah hak asasi manusia China, Sophie Richardson, beliau menyifatkan kekejaman China terhadap komuniti minoriti Muslim negara itu tidak terhenti dengan setakat menyeksa rakyatnya sahaja, malah turut melibatkan penindasan ke atas mereka yang sudah meninggal dunia.

Pada tahun 2019, sekumpulan wartawan AFP yang melawat kawasan perkuburan yang dimusnahkan menggambarkan lokasi terbabit sebagai keadaan yang sangat menyedihkan ekoran terdapat beberapa tulang-temulang manusia yang tersembul keluar dari tanah.

Difahamkan, negara-negara Barat dan kumpulan hak asasi manusia sudah menyuarakan kegusaran mereka mengenai laporan yang mendakwa China sudah menahan lebih dua juta penduduk yang majoritinya terdiri daripada etnik Muslim Ughyur.

Walau bagaimanapun, China menegaskan tiada seksaan yang berlaku terhadap tahanan dan kem penindasan yang dikatakan sebenarnya merupakan pusat latihan vokasional bagi membentuk peribadi etnik minoriti di sana.

Untuk membaca artikel lain berkaitan krisis penindasan terhadap etnik Ughyur di China, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca