Mahu Hantar Kucing Kepada Teman Wanita, Ini Antara Alasan Digunakan Sewaktu PKP

Sejak fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula semalam, pelbagai alasan yang diterima oleh pihak polis ketika melakukan sekatan jalan raya.

Antara alasan-alasan yang diberikan adalah ingin menghantar kucing kepada teman wanita, mahu ke kedai pajak gadai dan ingin berjumpa dengan kawan.

Oleh kerana tindakan yang mementingkan diri itu, ia mengakibatkan berlakunya kesesakan lalu lintas beberapa kilometer di laluan utama daerah Serdang.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan, pihaknya tidak lagi akan berkompromi dengan individu yang masih berdegil dengan melanggar perintah PKP.

“Sebelum ini, kami telah menempatkan empat sekatan jalan raya (SJR) di seluruh daerah ini dan pada 8 pagi semalam, kami tambah lagi dua SJR termasuk di lokasi ini (Jalan Puchong).

Sebaik SJR dikuatkuasakan semalam, kami dapati banyak kenderaan termasuk kenderaan berat melalui laluan ini yang sebelum ini digunakan orang ramai bagi mengelak SJR di lokasi lain,” katanya pada sidang media semalam.

Tambah beliau, dianggarkan lebih 100 kenderaan berat melalui laluan itu pada satu masa hingga menyebabkan berlakunya kesesakan luar biasa sehingga ia tular di laman sosial.

Sumber: Bernama

Ismadi Borhan juga berkata, pihaknya telah menutup empat laluan di kedua-dua arah iaitu Jalan Persiaran Puncak Jalil menuju ke Bukit Jalil dan Jalan Layang-Layang menuju ke Lebuh raya Damansara-Puchong (LDP) demi memperketatkan arahan PKP.

“Selain itu, Batu 7 Jalan Puchong menghala ke Jalan Klang Lama dan Jalan Serindit di Puchong Jaya ke Taman Wawasan juga akan ditutup,” katanya.

Seramai 196 individu ditahan dan 143 kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang ingkar arahan sejak 18 Mac.

“Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa supaya kekal berada di rumah kerana tindakan lebih tegas akan diambil pada fasa ketiga PKP ketika ini iaitu tangkap, direman dan dituduh di mahkamah,” ujarnya.

PKP fasa ketiga bermula dari 15 April hingga 28 April depan.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca