Mahkamah Rayuan Kekalkan Sabitan Dan Hukuman Penjara Najib Razak

Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Mohammad Najib Tun Abdul Razak selepas beliau didapati bersalah di atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Memetik laporan Harian Metro, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati dapatan yang dibuat Mahkamah Tinggi adalah selamat dan tidak perlu diubah.

Untuk pengetahuan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram pada Julai tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana syarikat SRC International Sdn Bhd kepada bekas Perdana Menteri Malaysia itu.

Ketika membacakan keputusan, Abdul Karim berkata Hakim Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah ketika mengarahkan Najib membela diri atas dakwaan yang dikenakan terhadapnya.

“Kami bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa perayu mempunyai kepentingan peribadi dalam kelulusan kabinet bagi pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

Najib diberikan kuasa khas dalam SRC atas peranannya sebagai Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, Najib dalam pembelaannya mendakwa beliau bertindak atas kepentingan nasional. Ini bukan kepentingan nasional. Ini adalah memalukan nasional,” ujarnya.

Menurut Hakim Abdul Karim lagi, Mahkamah Rayuan Putrajaya turut bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Najib adalah pengarah bayangan dalam SRC.

Sumber: Malay Mail

“Najib adalah satu-satunya yang mempunyai kuasa untuk melantik atau memecat pengarah dalam syarikat itu. Disebabkan itu, semua pengarah mematuhi arahan Najib di mana tiada bukti menunjukkan bahawa mereka tidak mematuhi keputusan berkenaan.

Kami mendapati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan semua tuduhan pengubahan wang haram terhadap perayu juga adalah selamat.

Secara keseluruhan, kami mendapati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mensabitkan semua tuduhan terhadap perayu,” tambahnya lagi.

Keputusan itu dibacakan melalui aplikasi Zoom dengan pasukan pendakwaan berada di dalam dewan Mahkamah Rayuan. Tiada kehadiran fizikal daripada pasukan pembelaan di Mahkamah Rayuan Putrajaya kerana mereka termasuk Najib sendiri sedang menjalani kuarantin kendiri selepas salah seorang peguam didapati positif COVID-19.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan Najib Razak, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca