Mahir Menembak Menggunakan Gaya Macedonia, Ini Kisah Alexander Solonik

Alexander Solonik mempunyai reputasi yang menggerunkan dalam dunia jenayah Rusia. Dia yang dikenali sebagai pembunuh upahan terhebat Rusia ini tidak pernah mendedahkan siapa majikannya tetapi satu benda yang pasti, mereka membayar sejumlah wang yang besar untuknya.

Kehidupan awal Alexander Solonik

Dilahirkan di Kurgan, Rusia pada 16 Oktober 1960, Solonik suka bersukan dan mahir menembak sebagai seorang remaja. Solonik dikatakan telah menyertai tentera Soviet di mana dia telah mengasah kemahirannya sebagai seorang pembunuh yang tidak berhati perut bersama unitnya di Jerman Timur.

Walaupun kebenaran ini tidak dapat disahkan, Solonik dikatakan telah diberikan tugasan untuk membunuh pegawai-pegawai berpangkat tinggi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semasa Perang Dingin. Tugasan itu diberikan bertujuan untuk menjejaskan kestabilan pertahanan Eropah Barat.

Menurut Valery Karyshev, bekas peguam Solonik, “Solonik taksub untuk menjadi seorang adiwira. Disebabkan itu, Solonik membuat keputusan untuk menjadi seorang anggota polis semasa dia masih lagi bekerja sebagai seorang tentera.”

Perubahan 180 darjah

Kehidupan Solonik berubah sama sekali pada tahun 1987. Selepas enam bulan, Solonik dibuang dari pusat latihan polis kerana kelakuan kejamnya terhadap para tahanan.

Selepas dibuang, dia bekerja sebagai seorang penggali kubur. Semasa menjadi seorang penggali kubur, Solonik ditahan kerana kesalahan merogol. Walaupun begitu, Solonik berjaya meloloskan diri dengan melompat keluar daripada jendela tingkat dua mahkamah tersebut. Dia kemudian melarikan diri ke Siberia.

Sumber: Mirror

Solonik cuba untuk mengelak daripada dikesan semasa berada di Tyumen, Siberia. Dia membuang tahi lalat di mukanya dan juga tatu yang menyerupai mahkota di tangannya. Malang sekali buat Solonik apabila dia ditangkap di sebuah salon kosmetik dan dipenjarakan selama dua tahun.

Solonik sekali lagi berjaya melarikan diri pada April 1990 dengan merangkak melalui ruang udara penjara dengan saiz badannya yang kecil (167 sentimeter). Malangnya, dia terpaksa bersembunyi sekali lagi akibat terkandas di bandar Tyumen.

Kelahiran Superkiller

Sumber: All That’s Interesting

Tiket kepada kebebasan Solonik ialah tawaran untuk menjadi pembunuh upahan. Solonik memulakan kerjayanya sebagai seorang pembunuh upahan pada 3 Julai 1990, sebulan setengah selepas dia berjaya meloloskan diri dari penjara.

Terdapat beberapa perkara yang membuatkan Solonik seorang pembunuh upahan yang digeruni. Pertama, dia tahu bagaimana untuk melepaskan diri dalam situasi yang tidak dijangka.

Kedua, Solonik mampu mempertahankan dirinya dengan baik. Selama Solonik berada di dalam penjara, dia berjaya untuk mempertahankan dirinya daripada banduan-banduan yang lebih besar daripadanya.

Ketiga, Solonik boleh menembak dengan dua buah pistol menggunakan kedua-dua belah tangan pada waktu yang sama. Gaya itu dikenali sebagai ‘Gaya Macedonia’.

Majikan pertama Solonik sebagai seorang pembunuh upahan ialah bos Mafia dari sindiket jenayah di Kurgan, Rusia. Solonik diarahkan untuk membunuh pesaing majikannya di Siberia. Selepas pembunuhan itu, Solonik berpindah ke Moscow.

Alexander the Great

Sasaran utama Solonik ialah pesaing kepada majikannya yang kebanyakannya ditembak dengan kejam dari jarak dekat mahupun jauh. Kisah kehebatannya tersebar dengan cepat dalam kalangan penjenayah sehingga dia dikenali sebagai ‘Alexander the Great’.

Walaupun Solonik menjadi buruan polis Moscow, Solonik memiliki kehebatan luar biasa untuk menghilangkan diri tanpa jejak.

Solonik berjaya menumbangkan dua individu dalam jenayah terancang Moscow yang dianggap ‘kebal’ iaitu Viktor Nikiforov dan Valery Dlugach pada tahun 1992 dalam masa enam bulan.

Pembunuhan Dlugach dianggap sebagai pembunuhan paling berani yang dilakukan oleh Solonik. Dlugach mempunyai ramai pengawal peribadi dan bergerak menaiki kenderaan kalis peluru. Walaupun begitu, dia berjaya membunuh Dlugach di hadapan khalayak ramai dalam sebuah kelab malam di Moscow.

Hutang yang tidak dibayar

Pada tahun 1994, Solonik kembali ke Tyumen untuk menuntut hutang $1,000,000 (RM4,181,000) daripada ketua sindiket jenayah yang paling berkuasa di sana, Andrey Rura ataupun lebih dikenali sebagai Mammoth. Solonik meminta Mammoth untuk membayar hutangnya kepada sebuah bank di Moscow.

Apabila Mammoth enggan membayar hutangnya, Solonik kembali semula ke Moscow. Namun, beberapa hari kemudian Mammoth dan beberapa orang bawahannya telah ditemui mati.

Pada tahun yang sama, Solonik dan seorang rakannya telah ditangkap di Moscow. Malangnya, pihak polis tidak memeriksa dengan betul kot hujan rakannya yang menyembunyikan senjata.

Dengan tangan masih bergari, Solonik dan rakannya kemudian melepaskan tembakan yang telah membunuh empat anggota polis dan dua orang pengawal keselamatan sebelum mereka melarikan diri.

Menjadi pelarian semula

Pihak polis berjaya memberkas Solonik tetapi rakannya berjaya melepaskan diri. Kali ini, Solonik disumbat ke Matrosskaya Tishina, salah satu penjara paling ketat di Rusia.

Pada tahun 1995, Solonik menjadi satu-satunya banduan yang berjaya melarikan diri dari Matrosskaya Tishina. Solonik dibantu oleh ‘orang dalam’ dan dibiayai oleh Mafia Rusia.

Seorang lelaki bernama Sergei Menshikov telah membekalkan Solonik dengan tali, peralatan pendakian dan senjata api supaya dia boleh melepaskan diri dari bumbung penjara tersebut menuju sebuah kereta BMW yang sedang menunggunya.

Solonik nekad untuk berhenti bekerja dengan Mafia selepas melakukan lebih daripada 43 pembunuhan. Pada awal tahun 1997, Solonik menggunakan kekayaannya untuk melarikan diri ke Greece.

Pembunuhan Solonik

Keputusan Solonik untuk meninggalkan Mafia bukan pengakhiran yang baik untuk dirinya sendiri. Bekas majikannya mengupah Sasha Soldat, seorang pembunuh upahan lain yang juga merupakan sahabat kepada Solonik untuk membunuh Solonik.

Solonik berjaya dikesan di sebuah vila di Athens dan Solonik tinggal di vila itu bersama teman wanitanya, Svetlana Kotova.

Solonik menjemput Soldat masuk ke vilanya dan mula berbual bersama rakannya. Ketika Solonik membelakangi Soldat, Soldat telah menjerut leher Solonik menggunakan tali sehingga mati.

Kotova, teman wanita Solonik, telah dibunuh oleh sindiket Kurgan. Mayat Solonik dan teman wanitanya tidak ditemui oleh pihak polis Athens sehingga dua bulan kemudian.

Kesimpulannya, ada yang berpendapat bahawa kematian Solonik telah dipalsukan dan dia masih hidup secara rahsia.

Artikel Lain Untuk Di Baca