Mahathir Dan Najib Merupakan Pasangan Kembar Tidak Seiras

Pasangan kembar tidak seiras yang dilahirkan pada tahun 1995 berjaya mencuri perhatian ramai apabila mereka dinamakan sempena nama Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ketika itu iaitu Mahathir dan Najib.

Nama tersebut diberikan oleh bapa mereka iaitu Norkaferi Ahmad yang juga merupakan seorang pesara tentera. Mahathir dan Najib akui bahawa mereka kadang-kadang mendapat usikan daripada rakan-rakan gara-gara nama mereka itu, namun mereka tidak pernah mengambil hati. Mereka malah sangat berbangga dengan nama tersebut.

Mahathir yang berusia 24 tahun mengatakan bahawa nama dia dan adiknya itu diberi sebaik sahaja mereka dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Ketika itu, bapanya masih bertugas bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Sungai Besi.

Ceritanya, bapanya memilih nama tersebut memandangkan ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri manakala Datuk Seri Najib Razak pula memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan.

“Ketika itu, bapa tidak menyangka kami dilahirkan kembar sebelum mendapat idea untuk meletakkan nama sempena nama dua pemimpin Melayu ketika itu.”

“Kami bukan kembar seiras jadi kebanyakan rakan setugas tidak mengetahui status kami sebagai adik-beradik kembar. Kami berkongsi bilik di rumah yang disediakan majikan,” ujarnya yang menetap di Temerloh, Pahang.

Najib dan Mahathir kini bekerja sebagai mekanikal fitter di tempat yang sama iaitu di sebuah syarikat berkaitan minyak dan gas dekat Bintulu, Sarawak sejak dua minggu lalu.

Apabila disoal berkenaan persamaan mereka sebagai adik-beradik kembar, difahamkan mereka banyak berkongsi minat yang sama. Namun begitu, mereka juga tidak terlepas daripada bertengkar memandangkan itu merupakan lumrah sebagai adik-beradik.

“Adakala kami bergaduh juga, bertengkar adik-beradik dan itu adalah lumrah, namun ia tidak berpanjangan,” kata Mahathir seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca