Mahasiswa Malaysia Hasilkan Semula Game Pokemon Berlatar Belakang Peta Malaysia

Disaat ramai yang sudah meninggalkan zaman bermain permainan video Pokémon, seorang peminat Pokémon telah berjaya membuatkan orang ramai kagum diatas hasil usahanya mengubah suai permainan ini kepada versi ‘Malaysia’.

Seorang Mahasiswa Malaysia, Mokessh Kannah mencipta permainan Pokémon tersendiri dengan berlatar belakangkan reka bentuk peta Malaysia. Dia kongsikan rekaannya melalui Reddit Pokémon yang mana menerima banyak reaksi positif daripada peminat Pokémon dari seluruh dunia.

Mokessh yang sedang menyambung ijazah sarjana muda dalam kursus Kejuruteraan Sains di University of Munich, Jerman berkata dia mengambil masa setahun untuk membawakan Malaysia di dalam dunia Pokémon dengan menggunakan RPG Maker XP.

Penampilan permainan ini kelihatan seperti Pokémon Ruby dan Sapphire, Diamond dan Pearl dan juga Black dan White. Game ini turut mempunyai Pokémon dari generasi pertama sehingga kelima.

“Saya buat peta itu dengan memuat turun gambar peta Malaysia dengan latar belakang. Kemudian, saya warnakan peta ini mengikut reka bentuk Pokémon asal dan meletakkan lokasi-lokasi penting Pokémon seperti bandar (town), jalan (route) dan sebagainya dengan menggunakan Adobe Photoshop,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.

Mokessh memberitahu lokasi tempat menarik Malaysia dimasukkan dalam game mungkin tidak mengikut lokasi sebenar sebagai contoh, Endau Rompin, Negeri Sembilan bersebelahan dengan Tasik Chini, Pahang.

Bukan itu sahaja, nama-nama lokasi akan merujuk kepada tempat-tempat menarik di Malaysia dan nama non-playable character (NPC) berdasarkan nama orang Malaysia.

Malangnya, berikutan undang-undang ketat yang diletakkan oleh pemilik permainan Pokemon, Nintendo, game yang diubah suai ini tidak dapat dikongsikan secara meluas.

“Saya tidak begitu pasti untuk menghasilkan laman sesawang khas untuk game ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang kerana saya faham Nintendo agak agresif dengan game buatan peminat.” katanya.

Walau bagaiamanapun, ramai orang meluahkan rasa keterujaan untuk bermain game Pokémon buatan Mokessh. Ramai orang suka main game tapi bukan calang-calang orang yang boleh menghasilkannya. Mokessh seorang anak muda Malaysia dari Negeri Sembilan menjadi kebanggaan negara.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca