Magis Messi ‘Pukau’ The Red Devils

Penyerang sensasi Barcelona, Lionel Messi sekali lagi muncul sebagai hero apabila sentuhan berbisanya membantu Barcelona mara ke separuh akhir dalam kempen Liga Juara-Juara.

Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde memuji ayam tambatan Barcelona itu selepas membantu gergasi Sepanyol tersebut meraih kemenangan 3-0 dalam saingan suku akhir kedua, awal pagi tadi.

Sebelum ini, Messi gagal menjaringkan gol dalam 12 penampilan suku akhir tetapi kali ini, penyerang Argentina itu memperlihat aksi yang berbeza dengan menjaringkan gol pertama pada minit ke-16. Gol berpunca daripada hantaran lemah Ashley Young yang pantas disambar oleh Messi, memperdaya 2 pertahanan sebelum melepaskan rembatan kencang ke penjuru gawang United.

4 minit berselang, magis Messi sekali lagi memberi impak yang besar kepada Barca apabila dia sekali lagi berjaya meloloskan diri untuk meledak gol kedua Barca. Sepakan kaki kanan dari luar kotak penalti itu gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol United, David da Gea sebelum bola menerjah masuk ke dalam gawang.

Messi kini telah menjaringkan 10 gol dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini. Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Barca terus mendominasi perlawanan dengan aksi yang kemas dan tersusun. Philippe Countinho melengkapkan malam gemilang Barca dengan gol ketiga pada minit ke-61. Bekas pemain tengah Liverpool itu membuat sepakan lencong yang cantik dari luar kotak penalti yang sama sekali gagal dijangkau oleh penjaga gol United.

United memperoleh beberapa peluang, namun rembatan Marcus Rashford pada minit ke-2 terkena palang manakala tandukan cantik bekas pemain Barca, Alexis Sanchez pula diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Marc Andre ter Stegen pada minit ke-90.

“Ini adalah persembahan paling menakjubkan, inilah persembahan kami sebenar,” kata Messi kepada wartawan.

“Messi sentiasa melepaskan kami daripada bahaya dan kami beruntung memilikinya. Dia sentiasa bangkit dalam perlawanan penting, bukan saja pada saat getir tetapi juga pada seluruh perlawanan,” kata Valverde.

“Dia sentiasa berjaya menjaringkan gol tetapi juga memacu gerakan serangan pasukan.”

Menurut Valverde, mereka lega dapat melepasi halangan suku akhir setelah tersingkir 3 kali berturut-turut pada saingan suku akhir terutamanya apabila mengingati semula aksi pada musim lalu di mana skuad kendaliannya itu tewas 0-3 kepada AS Roma selepas menang aksi pertama 4-1.

“Kami meletakkan harapan tinggi untuk perlawanan ini, sudah lama kami tidak berada di separuh akhir dan berdepan kekalahan menyakitkan tahun lalu,” katanya.

“Anda tidak tahu apa yang boleh berlaku dalam bola sepak, mereka mempunyai pasukan yang bagus dan mungkin memberikan kami masalah jadi kami pastikan sentiasa fokus dan bermain dengan intensiti supaya berjaya mara ke peringkat seterusnya,” tambah Valverde.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca