Mafi Dove: Perkampungan Ini Melarang Penduduknya Melahirkan Anak

Sebuah kampung yang bernama Mafi Dove di selatan Ghana mempunyai hampir 5,000 orang penduduk. Namun, hampir kesemua daripada mereka di sana tidak dilahirkan di kampung itu.

Ini kerana kepercayaan kuno masyarakat kampung ini yang menganggap kampung mereka sebagai tanah suci. Salah satu daripadanya adalah kepercayaan bahawa kelahiran di kampung itu merupakan satu kesalahan kepada tuhan-tuhan.

Kampung Mafi Dove ini juga mempunyai amalan adat dan tradisi lama yang diturunkan dari generasi ke generasi. Selain daripada beberapa larangan kecil, kampung ini turut mengamalkan tiga peraturan utama yang terus dikuat kuasakan hingga ke hari ini.

Salah satu larangannya adalah dengan ketiadaan haiwan di Mafi Dove. Walaupun haiwan boleh dibawa masuk untuk disembelih namun, penduduk di situ tidak dibenarkan membela haiwan di rumah mereka atau di mana sahaja di kampung tersebut.

Kedua, tiada tanah perkuburan di kampung itu. Apabila terdapat penduduk yang meninggal dunia, mereka akan dikuburkan di tanah perkuburan masyarakat lain.

Akhir sekali, yang paling terkesan bagi masyarakat wanita di sana apabila mereka dilarang melahirkan anak di kampung tersebut. Oleh itu, wanita yang sedang sarat mengandung akan dibawa ke kampung berdekatan untuk proses bersalin. Mereka juga terpaksa tinggal di sana sehingga tali pusat bayi mereka jatuh. Selepas itu barulah mereka boleh pulang ke rumah.

Menurut salah seorang penduduk, ketika nenek moyang mereka datang ke kampung itu, mereka mendengar suara dari langit yang mengatakan tanah itu adalah tempat suci dan ada peraturan. Peraturan tanah adalah bahawa tidak ada seorang pun yang harus melahirkan di sini, tidak ada yang perlu membiakkan haiwan dan tidak ada yang harus dikebumikan di kampung berkenaan.

Penduduk-penduduk Mafi Dove mendakwa, disebabkan mereka mematuhi pantang larang itu maka kampung mereka bebas daripada pertumpahan darah, jenayah dan sebagainya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai wanita yang telah mencabar larangan itu dan menuntut agar bayi mereka dilahirkan di kampung itu tanpa disisih masyarakat. Namun, golongan tua masih tidak bersetuju kerana kepercayaan mereka dengan menghormati tradisi lama adalah sangat penting untuk keselamatan dan kemakmuran kampung Mafi Dove.

Walaupun berkeras, golongan orang tua Mafi Dove berkompromi dan bersetuju untuk membina sebuah klinik bersalin di pinggir desa supaya wanita mengandung dapat melahirkan bayi tidak jauh dari rumah mereka.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca