Luka Yang Tidak Pernah Sembuh, Ini Kisah Kehilangan Dan Penemuan Nurin Jazlin

Pada 20 Ogos 2007, negara kita telah digemparkan dengan berita kehilangan seorang kanak-kanak perempuan, Nurin Jazlin Jazimin yang berusia 8 tahun ketika itu selepas keluar ke pasar malam berhampiran dengan rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Anak kedua kepada pasangan Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman itu dikatakan keluar sekitar jam 8.30 malam untuk membeli barang kegemarannya iaitu klip rambut.

Selalunya, Nurin akan pergi ke pasar malam itu dengan kakaknya yang dikenali sebagai Nurin Jazshira. Namun begitu, pada malam itu, Nurin memilih untuk pergi seorang diri. Ibunya pula membenarkan Nurin berbuat demikian memandangkan jarak pasar malam itu dengan flat yang mereka diami sangat dekat.

Detik demi detik, kelibat Nurin tidak muncul-muncul. Risau ada sesuatu yang buruk menimpa anak kesayangannya itu, Norazian terus pergi ke lokasi pasar malam berkenaan untuk mencari Nurin. Pencariannya bagaimanapun tidak berjaya. Malah, peniaga-peniaga di situ juga tidak nampak kelibat Nurin pada malam itu.

Norazian terus mencari anaknya itu sehingga ke Setapak. Dia sangat risau kerana Nurin mengalami masalah buah pinggang dan tekakan darah tinggi. Keadaan itu memerlukan Nurin untuk makan ubat pada setiap hari. Jika tidak, badannya akan mula membengkak.

Memandangkan pencarian pada malam itu menemui jalan buntu, kedua-dua ibu bapa Nurin bertindak membuat laporan polis mengenai kehilangan anak mereka.

Van putih

Pada mulanya, Jazimin percaya bahawa terdapat kemungkinan anaknya itu telah mengikut seseorang yang dia kenali. Namun begitu, pada 30 Ogos 2007 iaitu tujuh hari selepas kehilangan Nurin, pihak polis mendedahkan bahawa mereka telah menerima maklumat daripada seorang sepupu Nurin yang tinggal berdekatan dengan kediaman mereka.

Menurut sepupu Nurin, pada malam kehilangan kanak-kanak tersebut, dia juga berada di pasar malam itu dan terlihat seorang lelaki berusia sekitar 20-an berdiri di sebelah van putih sebelum menarik Nurin masuk ke dalam van.

Nurin dipercayai meronta untuk melepaskan diri sambil menjerit, “Tak nak! Tak nak!” berulang kali sebelum diseret masuk ke dalam van oleh lelaki itu.

Sebaik sahaja menerima maklumat itu, lebih seratus orang anggota polis dikerah untuk melakukan pencarian terhadap kehilangan Nurin. Turut serta dalam pencarian itu termasuklah anggota RELA dan juga Rukun Tetangga.

Setiap sudut termasuk rumah, tapak pembinaan, bangunan dan juga semak telah diperiksa namun usaha itu masih tidak meletakkan titik noktah terhadap kes kehilangan Nurin.

Sebanyak 500 risalah turut diedarkan kepada pekerja warga asing dari Indonesia bagi membantu mengesan Nurin. Di samping itu juga, sebanyak 20,000 helai poster telah diedarkan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ke 142 buah cawangannya yang terletak di seluruh negara untuk membantu mengesan kanak-kanak itu.

Pada masa itu, pelbagai pihak mengumumkan akan memberi ganjaran kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat tentang Nurin sehingga berjaya membawa kepada penemuannya. Antaranya termasuklah Ali Maju Restaurant Sdn Bhd, Ahli Parlimen Wangsa Maju iaitu Teo Ng Lock dan Pemuda UMNO Wangsa Maju di mana masing-masing menjanjikan RM5,000. Persatuan Pengguna Islam Malaysia pula menjanjikan ganjaran sebanyak RM3,000 menjadikan jumlah keseluruhan ganjaran RM18,000.

Pandangan jarak jauh

Pada hari ke-13 kehilangan Nurin, bantuan pakar forensik hipnosis iaitu Dr. Sazali Ahmad telah digunakan bagi mengesan lokasi kanak-kanak itu dengan menggunakan kaedah ‘pandangan jarak jauh’ atau kita sering sebut sebagai remote-viewing.

Ia merupakan sejenis teknik saintifik yang diperkenalkan oleh pasukan perisik tentera Amerika Syarikat bagi mengumpulkan maklumat mengenai sasaran termasuklah lokasi sebenar mereka dan apa yang mereka sedang lakukan ketika itu.

Difahamkan, Dr. Sazali mempunyai sebuah akademi bagi melatih mereka yang berminat untuk mengamalkan teknik remote-viewing.

Sewaktu teknik ini dilakukan ke atas Norazian, beliau yang ketika itu dibawa masuk ke alam separuh sedar melihat Nurin berada di dalam sebuah bilik gelap. Melalui apa yang Norazian lihat, Nurin sedang berbaring dalam keadaan merengkok.

Ketika itu, Dr. Sazali menyuruh Norazian keluar dari tempat itu dan melihat persekitaran lokasi tersebut bagi mengesan di mana Nurin berada.

Namun begitu, usaha itu tidak berjaya kerana selepas melihat keadaan anaknya itu, Norazian tidak mampu untuk keluar dari bilik tersebut dan meninggalkan Nurin seorang diri.

Ujian yang dijalankan ke atas sepupu Nurin iaitu saksi utama kes ini juga mendapat jawapan yang hampir sama di mana Nurin dilihat terbaring dalam keadaan merengkok di dalam sebuah bilik gelap.

Sewaktu Dr. Sazali mengarahkannya untuk keluar dari bilik tersebut, beliau menggambarkan lokasi itu terletak di satu jalan yang sepertinya sudah biasa dia lihat selain terdapat banyak pokok dan bangunan tinggi di sekitar kawasan berkenaan. Walau bagaimanapun, nama jalan yang dilaluinya ketika berada di alam separuh sedar itu gagal untuk dikesan.

Selepas itu, ujian yang sama dilakukan ke atas salah seorang pelajar Simfoni Minda (akademi milik Dr. Sazali) dan klu yang dijumpainya agak jelas berbanding ibu dan sepupu Nurin tadi.

Hampir sama dengan apa yang sepupu Nurin lihat, dia menyatakan terdapat banyak pokok dan premis kedai di sekitar kawasan itu.

Ketika itu, Nurin dilihat sedang dijaga oleh dua orang lelaki di mana seorang berbadan tegap dan seorang lagi agak kurus. Nurin seolah-olah sedang berada dalam kesakitan dan tangannya diikat.

Berdasarkan maklumat menerusi teknik remote-viewing itu, pihak polis melakukan pencarian di Jalan Klang Lama dan berjaya menemui sebuah van berwarna putih yang pada mulanya disangka kenderaan yang dilihat membawa Nurin pada malam 20 Ogos. Namun begitu, hasil siasatan akhirnya mengesahkan bahawa ia tiada kaitan dengan kes kehilangan Nurin.

Tibanya bulan Ramadan

Ramadan tahun itu disambut keluarga Jazimin dengan rasa pilu dan rindu yang tidak terungkap terhadap permata hati mereka. Lebih memilukan, dua pasang baju kebaya sudah ditempah khas untuk Nurin sebagai baju raya.

Mereka begitu mengharapkan kepulangan Nurin yang gemarkan Roti John dan sambal petai sebagai juadah berbuka puasa terutama sekali menjelang tarikh ulang tahun kelahirannya iaitu pada 11 September.

Sebelum Nurin hilang, dia pernah menyuarakan keinginan untuk menyambut sambutan ulang tahun yang berbea dengan tahun-tahun sebelumnya. Nurin dikatakan meminta ibunya untuk memasak laksa Penang dan menjemput rakan-rakan bagi meraikan hari jadinya. Malah, dia juga memberitahu yang dia sendiri akan memilih kek untuk majlis itu.

Penemuan mayat kanak-kanak di dalam beg sukan

Pada 17 September 2007, penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang disumbat di dalam satu beg sukan telah menggemparkan seluruh masyarakat. Beg berisi mayat itu ditinggalkan di tangga sebuah lot kedai di PJS1/48, Petaling Utama.

Beg berwarna hitam dan biru itu ditemui oleh penyelia sebuah syarikat pengedar buku iaitu Chen Yan Fang sekitar jam 8.30 pagi di luar premis kedainya. Pada mulanya, Chen menyangka ia milik salah seorang stafnya iaitu Jack Yeoh Huat Lip yang baru sahaja tiba di Petaling Jaya dari Singapura.

Chen kemudiannya menelefon Jack untuk memberitahu tentang beg itu dan dia mengatakan ia bukan miliknya. Setibanya Jack di sana, dia terus membuka beg itu dan terkejut apabila ternampak sepasang kaki. Tanpa membuang masa, dia terus menghubungi pihak polis.

Laporan bedah siasat mendapati bahawa sebiji timun dan terung ditemui di dalam alat sulit kanak-kanak malang itu. Terdapat juga kesan lebam pada leher kanak-kanak yang berusia sekitar lapan hingga sembilan tahun itu sekali gus memberi bayangan dia barangkali dicekik.

Pihak polis percaya kanak-kanak itu telah menemui ajal lebih dari enam jam sebelum mayatnya dijumpai.

Mereka yang ada kehilangan anak perempuan ketika itu diminta untuk menghubungi ibu pejabat polis memandangkan identiti kanak-kanak itu masih belum dikenal pasti.

Disebabkan Nurin Jazlin tergolong dalam senarai kanak-kanak perempuan yang telah dilaporkan hilang, Jazimin dan Nurazian telah dipanggil ke bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk membuat pengecaman pada hari ke-26 kehilangan anak mereka.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan mereka sewaktu dipanggil untuk membuat pengecaman ke atas mayat itu. Mereka bagaimanapun dilihat menarik nafas lega ketika keluar dari bilik mayat kerana setelah membuat pengecaman, mereka 100 peratus yakin yang kanak-kanak itu bukan Nurin. Raut wajah, warna kulit dan ciri-ciri fizikal kanak-kanak itu langsung tidak kelihatan seperti anak mereka.

“Kami berdebar-debar tetapi kuatkan semangat untuk datang buat pengecaman. Saya kenal anak saya. Saya lihat sekali saja dan tahu itu bukan dia,” ujar Jazimin.

Walau bagaimanapun, sampel darah Jazimin dan Nuraizan tetap diambil bagi ujian perbandingan DNA dengan mayat kanak-kanak itu.

Pada 21 September 2007, Jazimin dan Nurazian sekali lagi dipanggil ke bilik mayat HKL bagi membuat pengecaman kedua ke atas mayat kanak-kanak yang ditemui dalam beg sukan itu.

Seperti sebelum ini, pasangan itu sekali lagi mengesahkan bahawa mayat tersebut bukan anak kedua mereka yang hilang.

Pada hari yang sama, pihak polis telah mengadakan satu sidang media untuk mengesahkan bahawa mayat kanak-kanak itu ialah Nurin Jazlin. Pengesahan itu dibuat berdasarkan padanan menerusi ujian DNA.

Meskipun keputusan ujian DNA mengesahkan mayat itu ialah Nurin, Jazimin masih tidak percaya yang anaknya sudah tiada.

“Saya ayah Nurin. Saya lebih mengenali anak saya berbanding semua orang. Hati saya kuat mengatakan mayat itu bukan anak saya,” kata Jazimin yang pasti mayat itu bukan anaknya berdasarkan paras rupa dan keadaan gigi mayat itu.

“Sekiranya polis suruh saya ambil mayat tersebut, saya akan terima. Saya akan mandikan dan mengebumikannya. Tetapi saya mahu polis teruskan usaha mencari Nurin kerana saya tahu, anak saya masih bernafas di luar sana.”

Nurin Jazlin sudah tiada

Setelah beberapa ketika, kedua-kedua orang tua Nurin akhirnya menerima kenyataan bahawa anak mereka sudah tiada.

“Apa lagi yang boleh saya kata. Keputusan DNA menunjukkan itu anak saya. Saya reda dengan kehendak Ilahi.”

“Sebagai seorang ibu, saya masih berharap bahawa itu bukan anak saya. Ibu mana yang sanggup terima kenyataan bahawa anaknya diperkosa dan dibunuh begitu kejam?” kata Norazian dengan linangan air mata.

Nota: Bersambung ke bahagian 2

Artikel Lain Untuk Di Baca