Luka Yang Tidak Pernah Sembuh, Ini Kisah Kehilangan Dan Penemuan Nurin Jazlin – Bahagian 2

Nota: Sambungan daripada bahagian 1

Artikel ini merangkumi penyiasatan terhadap kes pembunuhan Nurin Jazlin yang dibunuh dengan begitu kejam sekali.

Siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin

Pada 21 September 2007, siasatan untuk mencari dalang di sebalik pembunuhan tragis Nurin telah dimulakan. Satu pasukan khas telah dibentuk bagi mencari syaitan bertopengkan manusia itu. Pasukan tersebut telah diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman iaitu Christopher Wan Soo Kee.

Strategi khas dan juga sistem rangkaian mereka sendiri telah digunakan untuk membawa pelaku ke muka pengadilan. Walau bagaimanapun, beliau mengatakan bahawa terdapat kemungkinan yang suspek telah melarikan diri dari Lembah Klang memandangkan liputan media yang luas mengenai kes tersebut.

Ibu bapa Nurin Jazlin berisiko untuk dituduh atas kecuaian mereka

Tidak cukup dengan kehilangan anak kesayangan mereka, kedua-dua ibu bapa Nurin dikatakan berisiko untuk didakwa atas sebab kecuaian. Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengatakan bahawa Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman patut didakwa kerana kecuaian mereka yang membawa kepada kehilangan dan kematian Nurin.

Untuk rekod, ibu bapa atau penjaga yang cuai boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau hukuman penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

Walau bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan Mohamed itu ditentang hebat oleh Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia iaitu Tan Sri Lee Lam Thye kerana dia berasakan apa yang dilalui Jazimin dan Norazian sudah cukup berat buat mereka untuk dihukum sedemikian rupa.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa isu di sini adalah bukan untuk menuding jari kepada ibu bapa Nurin tetapi bagaimana orang awam dan pihak polis sepatutnya bekerjasama bagi menangkap si pelaku.

Cadangan Tan Sri Lee disokong oleh mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang berpendapat bahawa keutamaan pihak berkuasa ketika itu adalah untuk mencari individu yang tidak berperikemanusiaan itu.

Lima orang suspek yang dipercayai ada kaitan dengan kes Nurin Jazlin ditangkap

Pada 1 Oktober 2007, lima orang suspek telah ditahan berhubung kes Nurin selepas siasatan secara menyeluruh dijalankan. Namun begitu, empat orang daripadanya dibebaskan sejurus selepas penangkapan itu dilakukan kecuali seorang wanita warga Indonesia.

Difahamkan, pihak polis tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa mereka memandangkan ujian DNA yang dibuat ke atas mereka berempat tidak sepadan dengan DNA yang ada pada mayat Nurin.

Wanita Indonesia itu ditahan di Pasar Ramadan di bandar Nilai, Negeri Sembilan iaitu sekitar 15 kilometer dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban di mana ia merupakan lokasi Nurin dilaporkan dilihat pada 5 September 2007.

Walau bagaimanapun, pihak polis enggan mengulas lanjut berkenaan apa kaitan wanita tersebut dengan kes Nurin tetapi mereka menjelaskan bahawa dia telah menelan satu kad SIM ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dari ibu pejabat polis di Bukit Aman. Kad SIM itu dipercayai mengandungi maklumat penting bagi menyelesaikan kes pembunuhan Nurin.

Suspek yang merupakan pendatang tanpa izin itu kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan University Malaya (PPUM) supaya pegawai perubatan boleh mencuba mengeluarkan kad SIM tersebut daripada badan wanita berkenaan.

Kad SIM itu akhirnya berjaya dikeluarkan selepas doktor dan jururawat mengeluarkannya secara fizikal menerusi dubur wanita tersebut memandangkan dia enggan makan atau membuang air besar.

Pihak polis mendedahkan bahawa kad SIM itu didakwa digunakan wanita tersebut untuk menghantar pesanan ringkas yang mendakwa Nurin ada bersamanya ke nombor hotline polis.

Ganjaran kepada sesiapa yang ada maklumat berkenaan kes Nurin Jazlin

Meskipun wanita Indonesia itu ditahan reman bagi membantu siasatan, Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA masih menganggap siasatan kes itu masih berjalan seperti biasa.

Oleh itu, ketua jabatan iaitu Datuk Micheal Chong menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan pembunuh Nurin.

Video penculikan Nurin dengan kualiti yang lebih baik telah dikongsikan kepada umum

Pada 11 Oktober 2007, pihak polis telah berkongsi video penculikan Nurin dengan kualiti yang lebih baik kepada umum.

Dalam video itu, seorang lelaki dilihat membawa beg Diadora. Dia kemudiannya meninggalkan beg itu di tempat mayat Nurin ditemui. Dalam rakaman lain pula, seorang wanita memakai baju merah bersama dengan tiga orang lelaki dilihat berada di kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun, kualiti rakaman video yang dipertingkatkan di makmal forensik FBI Washington itu masih tidak dapat meletakkan titik noktah terhadap siasatan kes tersebut. Sehingga sekarang, pembunuh Nurin masih lagi berlegar-legar di luar sana.

Pada tahun 2008, Jazimin telah meminta pihak polis untuk membuka semula kes anaknya dan melakukan siasatan dengan menggunakan teknologi yang terkini. Malangnya, permintaan bapa yang mahukan keadilan bagi kematian anaknya itu tidak diendahkan dan kes itu tidak akan dibuka semula.

12 tahun berlalu tapi pedihnya masih terasa

Walaupun sudah 12 tahun berlalu, episod tragis yang menimpa Nurin Jazlin masih segar dalam ingatan kita semua kerana ia merupakan salah satu kes jenayah paling kejam dalam sejarah negara kita. Lebih menyedihkan, pelakunya masih bebas sehingga sekarang.

Team Lejen Press Digital mengucapkan salam takziah kepada seluruh keluarga Nurin Jazlin. Al-Fatihah.

Artikel Lain Untuk Di Baca