Luahkan Pendapat Tidak Setuju Dengan Isi Ceramah, Lelaki Nyaris Dipukul Pengikut Setia Ustaz

Seorang lelaki di Jakarta hampir-hampir dibelasah oleh pengikut setia seorang penceramah apabila dia menyuarakan pendapatnya yang tidak bersetuju dengan isi ceramah yang diberikan.

Menurut laporan Suara.com, kejadian berkenaan mula mendapat perhatian orang ramai apabila video rakaman detik-detik tersebut tular di media sosial hasil kongsian akaun @MurtadhaOne1.

Tangkap layar video perkongsian @MurtadhaOne1 di Twitter. Sumber:Suara.com

Dalam video yang dikongsi itu, sewaktu ceramah dijalankan, seorang lelaki tampil berdiri lantas menyampaikan soalan dan pendapatnya mengenai isi kandungan ceramah.

Dia memberikan pendapat bahawa dalam menyampaikan dakwah tidak perlulah untuk penceramah memburuk-burukkan pemimpin.

“Kita semua yang berada di sini mempunyai fikrah yang berbeza. Pemikiran kita juga tidak sama.

“Pada pendapat saya, kita tidak boleh menghina pemimpin semasa menyampaikan dakwah,” katanya

Namun belum sempat dia menghabiskan ucapannya, seorang lelaki bertindak pantas bangun dan merampas mikrofon yang ada ditangannya sekaligus menghentikan ucapan lelaki tersebut setengah jalan.

Lelaki yang nyaris dipukul oleh pengikut setia ustaz itu segera ditarik kebelakang oleh jemaah lain bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Dalam pada masa yang sama, jemaah-jemaah yang lain melaungkan takbir tanda tidak bersetuju dengan pendapat lelaki berkenaan dan memberikan sokongan kepada penceramah yang diberi gelaran ustaz.

Selepas lelaki itu dibawa pergi, jemaah lain yang sedang mendengar ceramah diminta untuk bertenang dan kekal di tempat masing-masing.

Apa pendapat anda tentang kejadian ini?

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca