Sudah tidak ambil pusing dengan bekas pemain tengah Kedah iaitu Liridon Krasniqi atau nama gelarannya Mat Don yang ‘disailang’ JDT II, Pahang membuat keputusan garang dengan menandatangani semula bekas pemain importnya, Dickson Nwakaeme. Nwakaeme sangat terkenal dan disayangi peminat Tok Gajah ketika berkhidmat dengan pasukan tersebut pada musim 2014 dan 2015 yang mana beliau berjaya membantu Pahang meraih gelaran juara Piala Malaysia dan Piala FA.
Pahang membuat pengumuman yang menggembirakan para peminat mereka itu melalui perkongsian di laman Instagram dan Facebook milik mereka.
View this post on InstagramA post shared by Pahang Football Association (@officialpahangfa) on
Tentunya masih segar dalam ingatan para penyokong Pahang ketika Final Piala Malaysia 2014, beliau menjaringkan dua gol ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT). Dua gol keramat itu telah membawa Piala Malaysia ke bumi Darul Makmur, selepas memenangi perlawanan 5-3 melalui penentuan sepakan penalti.
Tinjauan kami di laman Instagram Nwakaeme (setakat artikel ini ditulis) mendapati belum ada apa-apa posting daripada pemain itu tentang laporan yang beliau akan beraksi bersama Tok Gajah pada musim 2019 ini.
Namun, post terbaru beliau cukup memberi bayangan yang beliau mungkin akan kembali menggegarkan kancah bola sepak Malaysia. Dengan foto bersama seorang lelaki dari Malaysia bernama Yunus, Nwakaeme menulis,
“This Malaysian guy Yunus is a magician ❤️ God bless him and his lovely family. So much rumors about me laa. #Godisthegreatest.”
View this post on InstagramA post shared by DN10🇳🇬 (@dicksonnwakaeme) on
Nwakaeme selepas tamat kontraknya bersama Pahang sebelum ini telah bermain untuk pasukan Angers SCO di Ligue 1, Perancis pada tahun 2016. Jodohnya bersama kelab itu tidak lama selepas dilepaskan pada Jun 2017.
Aksi Nwakaeme bersama Pahang pada musim baru ini pastinya dinanti-nantikan dengan penuh keterujaan oleh para penyokong Tok Gajah. Kemasukan beliau pastinya akan membuatkan pasukan Pahang lebih kuat dan Liga Malaysia lebih kompetetif.
Nampaknya transfer window menjelang pembukaan Liga Malaysia 2019 ini sungguh panas dengan pelbagai kontroversi dan rancak dengan jual beli pemain yang cukup hebat dan berprofil tinggi. Kami dapat rasakan para peminat tegar bola sepak Malaysia pastinya tidak sabar lagi untuk turun ke stadium memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.
Ayuh bersama rancakkan liga kita!