Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi atau lebih dikenali sebagai LIMA merupakan satu pameran udara dan maritim yang berkaitan dengan penerbangan komersial dan pertahanan. LIMA sering diadakan pada bulan Mac, setiap tahun ganjil di Pulau Langkawi, Kedah.
Pameran ini dibahagikan kepada dua segmen yang berlainan di mana pameran udara biasanya diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala bagi segmen maritim pula diadakan di Awana Porto Malai, Kuah.
LIMA 2019 yang memasuki edisi ke-15 sejak diperkenalkan pada 1991 akan berlangsung selama 5 hari bermula 26 hingga 30 Mac tahun ini dan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi serta akan mengetengahkan beberapa pakar dari sektor penerbangan antarabangsa, aeroangkasa, pertahanan maritim dan komersial.
Negara Yang Terlibat
Banyak negara akan mengambil bahagian dalam acara ini. Antaranya adalah Itali, Perancis, Jerman, United Kingdom (UK), Turki, Amerika Syarikat, Ukraine, Australia, China, Rusia, Balkan, Republik Czech dan Slovakia.
Pembabitan daripada kelompok syarikat pengeluaran terbaik dunia turut serta di pameran ini seperti Leonardo Helicopters, Rafale International, Airbus Group, Aselsan, Saab AB, Thales dan BAE Systems.
Syarikat tempatan juga turut terlibat seperti Malaysia Airports Holding Berhad, Sapura Group, Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), Muhibbah Engineering dan National Aerospace & Defence Industries (NADI).
Pembabitan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) selaku penganjur turut momenggalakkan syarikat komersial mengambil bahagian dalam mempamerkan peralatan, pesawat dan teknologi terkini.
Menarik Tentang LIMA’19
LIMA merupakan acara yang berprestij dan berprofil tinggi. Ia disertai lebih daripada 555 pempamer, 371 delegasi asing dari 49 negara, 634 pengamal media yang diakreditasi dan dihadiri oleh 279,969 pengunjung perdagangan pada edisi yang lalu.
Sebagai pameran maritim dan aeroangkasa yang unik, LIMA berjaya menarik syarikat terkemuka dunia dan dihadiri oleh pencinta teknologi dari serata dunia.
Tiket
Kepada anda yang berminat untuk ke acara ini, berikut adalah 2 cara untuk mendapatkan tiket iaitu melalui online dan juga walk-in:
1. Talian
Untuk pembelian tiket secara online haruslah dibuat sebelum 26 Febuari 2019. E-mel pengesahan akan dihantar kepada anda yang membeli secara oline. Jika anda mendaftar lebih daripada seorang, anda perlu menggunakan alamat e-mel yang berbeza.
Untuk mendapatkan tiket anda, anda perlu mengemukakan e-mel yang telah dihantar kepada pihak yang bertugas.
2. Walk-in
Untuk mendapatkan tiket secara walk-in, anda hanya perlu mengisi borang di kaunter yang terdapat di MIEC.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghantar e-mel ke [email protected]