Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng berkata tiada keperluan untuk mengadakan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) khusus untuk membincangkan isu peralihan kuasa. Menurut Guan Eng yang juga Menteri Kewangan, isu peralihan kuasa wajar dibiarkan mengikut jadual yang telah disyorkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perkara yang seharusnya menjadi fokus utama, menurut Guan Eng lagi ialah bagaimana untuk memastikan ekonomi negara tumbuh dengan mampan serta melaksanakan janji dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Tambah beliau lagi, peralihan kuasa tanpa sebarang kekecohan akan mewujudkan keadaan yang stabil bukan sahaja untuk negara, tetapi bagi pertumbuhan ekonomi.
Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (PAN) yang juga Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan hari ini turut menggesa fokus diberikan kepada usaha pemulihan ekonomi negara. Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan akan berusaha keras untuk memulihkan ekonomi negara, dan isu-isu lain seharusnya tidak mengganggu usaha tersebut.
Pada Isnin yang lalu, Perdana Menteri ketika mengulas desakan untuk menyegerakan peralihan kuasa kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedia berundur sekiranya diminta oleh Majlis Presiden PH untuk berbuat demikian. Menurut beliau lagi, Majlis Presiden PH yang dianggotai empat parti komponen akan memutuskan sebarang isu berkaitan dengan peralihan kuasa.