LHDNM Nafi Dakwaan Kebocoran 4 Juta Data, PDRM Sahkan Terima Laporan

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi menafikan laporan yang mendakwa empat juta data yang bocor diperolehi daripada laman sesawang LHDN melalui Application Programming Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sebagai makluman, LHDNM hanya merupakan pengguna dan bukannya pemilik kepada sistem myIDENTITY tersebut.

Pihak LHDNM juga telah menjalankan siasatan dalaman dan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa.

LHDNM juga sedang bekerjasama dengan pihak JPN dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dakwaan ini.

Pihak LHDNM memberikan jaminan semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDNM adalah selamat kerana ia dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan polis daripada JPN berhubung dakwaan kecurian data tersebut.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, laporan dibuat oleh Timbalan Pengarah JPN di Balai Presint 7 Putrajaya.

Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengenal pasti punca sebenar kecurian tersebut.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca