Letusan Gunung Berapi Lumpur Setinggi Enam Meter Di Lahad Datu

Sebuah gunung berapi lumpur di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu disyaki meletus dengan memuntahkan lumpur dalam jumlah yang banyak pada pagi semalam.

Fenomena yang jarang berlaku itu tular di media sosial, dipercayai selepas dimuat naik oleh individu yang kebetulan berada berhampiran lokasi gunung berapi lumpur terbabit.

Seorang saksi iaitu pemandu pelancong yang sedang membawa sekumpulan pelancong, Hamit Suban menjelaskan kejadian itu berlaku kira – kira jam 10 pagi.

“Program pertama kami selepas bersarapan adalah melawat kawasan ‘mud volcano’ di dalam kawasan Tabin. Saya membawa sekumpulan pelancong dari Amerika Syarikat dengan berjalan kaki sejauh 700 meter ke lokasi berkenaan.

“Sebaik tiba, kami naik ke menara pemerhati untuk melihat burung dan haiwan lain yang berada di lokasi, namun tiba-tiba kami terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum mendapati berlaku letusan lumpur di kawasan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pakar geologi Sabah, Prof Dr Felix Tongkul pula berkata bahawa fenomena letusan gunung berapi lumpur itu adalah perkara biasa yang berlaku apabila tekanan lumpur dalam bumi meningkat dan perlu dilepaskan.

“Keadaan ini berulang bila tekanan terkumpul pada sesuatu masa tertentu. Kejadian volkano lumpur seperti ini (lebih aktif) kadang-kadang berlaku semasa kejadian gempa bumi,” jelasnya lagi.

Kewujudan gunung berapi lumpur bukan sesuatu yang baharu di Sabah serta kebanyakannya telah menjadi kawasan pelancongan yang popular.

Selain di Tabin, gunung berapi seperti ini juga boleh ditemui di daerah lain antaranya Taman Pulau Tiga, Kuala Penyu.

Pulau Tiga yang kini menjadi tarikan pelancongan popular di Sabah dikatakan terbentuk hasil daripada letusan gunung berapi lumpur pada 1897 berikutan gempa bumi di Mindanao, selatan Filipina.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca