Lelaki Tanpa Kedua Belah Tangan Ini Cekal Usahakan Ternakan Lembu Demi Kelangsungan Hidup

Meskipun mengalami kecacatan pada kedua-dua belah tangan semenjak lahir, ia sama sekali tidak menjadi penghalang buat Rahim Yusoff untuk mengusahakan ternakan lembu sebelum menjual haiwan itu kepada orang ramai bagi meraih pendapatan untuk menyara keluarganya.

Rahim yang berumur 54 tahun itu mula menternak lembu sejak enam tahun lepas dengan bermodalkan RM2,500. Modal itu digunakan Rahim untuk membeli seekor lembu bunting daripada seorang penternak lembu di Machang, Kelantan.

“Pada Aidiladha tahun lepas, saya berjaya menjual 10 ekor lembu bagi tujuan ibadah korban sekitar harga RM2,500 hingga RM3,700 seekor untuk memenuhi permintaan penduduk setempat,” kata Rahim.

“Dengan pendapatan yang diperoleh ini, sekurang-kurangnya ia dapat menampung perbelanjaan kami lima beranak daripada terus menagih simpati dan mengharapkan bantuan orang ramai,” katanya yang tinggal di Kampung Bukit Pangkal Gong, Pulai Chondong di Kelantan.

Difahamkan, Rahim kini mempunyai lima ekor lembu di mana tiga daripadanya dipelihara sendiri manakala dua ekor lagi menerusi sistem pawah iaitu milik penduduk kampung itu yang menyuruhnya menjaga ternakan mereka dan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia akan mendapatkan khidmat veterinar untuk memberi suntikan sekurang-kurangnya enam bulan sekali bagi mengelakkan ternakan dijangkiti penyakit yang boleh menyebabkan kematian termasuk penyakit kuku dan mulut.

“Bagi makanan, selain memberi palet berharga RM31 untuk 50 kilogram yang hanya mampu bertahan tiga hari, saya juga akan melepaskan lembu di bendang berdekatan sekitar waktu pagi hingga petang untuk meragut rumput,” cerita Rahim.

“Lembu-lembu ini sudah jinak dan terbiasa dengan rutin harian seolah-olah ia sudah memahami, sekali gus memudahkan saya untuk mengawal walaupun dari jauh,” kata Rahim yang begitu cekap menguruskan ternakannya termasuklah mencuci kandang dan memberi lembunya makan meskipun hanya menggunakan kakinya.

Sebelum ini, Rahim juga ada memelihara itik, namun tragedi bah kuning yang menimpa kampung itu pada tahun 2014 menyebabkan dia mengalami kerugian sekitar RM15,000 apabila 400 ekor itik peliharaannya mati dibawa arus banjir. Walau bagaimanapun, insiden itu sama sekali tidak mematahkan semangat Rahim untuk bangun semula dan mencuba nasib dalam bidang ternakan lembu.

Memetik laporan Astro Awani, Rahim dan isteri iaitu Noraidah Hamzah turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 dan RM250 setiap seorang.

Dalam pada itu, Rahim berharap agar usaha dan kecekalannya dapat dijadikan sebagai insipirasi buat orang ramai. Pada masa yang sama, dia berharap mereka yang senasib dengannya (OKU) tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk berjaya.

Untuk baca kisah inspirasi lain mengenai golongan seperti Rahim yang gigih berusaha demi kelangsungan hidup tanpa mengharapkan simpati orang lain, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca