Lelaki Licik Ini Pernah Menjadi Penipu Kelas Satu Dunia

Tangkaplah aku kalau dapat.

Selama enam tahun, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) gigih memburu dan cuba menangkap seorang pemuda bernama Frank Abagnale yang baru berusia 21 tahun ketika itu.

Dia merupakan penjenayah paling dikehendaki di 26 negara kerana terlibat dengan kes pemalsuan cek, penyamaran identiti dan membolosi penjara. Frank juga amat popular sekitar tahun 1960-an kerana FBI pun kena gamed dengan ‘budak mentah’ ini.

‘Scam’ kad kredit

Dilahirkan pada 27 April 1948, Frank dibesarkan di New York oleh bapanya. Perceraian ibu bapanya seawal usia remaja memberi kesan dramatik terhadap dirinya dan membuatkan hidupnya tunggang terbalik.

Bapa Frank merupakan ahli perniagaan dan terlibat dengan politik. Kehidupannya sentiasa sibuk sehingga menyebabkan si isteri bertindak meninggalkannya.

Menginjak usia remaja, Frank mula mencuri barang di kedai. Dia mula berasa bosan kerana baginya itu sangat ‘kacang’ lalu cuba mencari cara yang lebih sofistikated untuk mencuri.

Mangsa pertama adalah bapanya sendiri. Frank menyalahgunakan kad kredit pemberian ayahnya dengan membeli barangan aksesori kereta. Kemudian, dia menjual barang-barang tersebut bagi mendapatkan wang tunai. Duit itu digunakan untuk belanja makwe semasa dating.

Bil kad kredit yang mencecah ribuan dolar itu telah sampai kepada bapanya. Frank diugut untuk dihantar ke sekolah juvana oleh ibu bapanya lalu remaja berusia 16 tahun itu bertindak lari dari rumah.

Memalsukan Cek

Ketika melarikan diri, tiba-tiba Frank merasakan dirinya keseorangan dalam dunia yang menjadi tempat senda gurau ini. Itu ‘permainan’ yang harus ditempuhi.

Dengan duit simpanan yang sedikit dan tiada pendidikan formal, dia harus kreatif mencari jalan bagi melangsungkan hidup dan mendewasakan dirinya.

Frank mengubah gambar lesen keretanya agar nampak 10 tahun lebih tua daripada usia sebenar dan memalsukan sijil akademik supaya senang dapat kerja bagus.

Selain itu, dia turut menulis ratusan cek palsu bagi menampung hidupnya.

Frank sedar yang duit akan keluar lebih banyak daripada cek-cek palsu itu jika dia berkerjaya profesional, mempunyai personaliti hebat dan mengagumkan petugas bank tersebut.

Dia harus melakukan sesuatu.

Menyamar Sebagai Juruterbang

Frank sudah lama bercita-cita mahu menjadi seorang juruterbang. Lagipun itu kerjaya paling glamor dan sesiapa yang menjadi pilot akan mendapat penghormatan yang tinggi ketika itu.

Mula-mula sekali, dia harus dapatkan pakaian uniform juruterbang. Frank menelefon ibu pejabat Pan American Airlines (PAM), mengaku sebagai pilot dengan memberitahu yang pakaian seragam hilang di hotel.

Kemudian, lelaki itu mengambil uniform baru seperti yang diarahkan oleh pihak ibu pejabat dengan menggunakan kad identiti pekerja palsu yang direkanya sendiri tanpa dapat dikesan.

Polisi penerbangan ketika itu pula membolehkan juruterbang untuk menumpang pesawat secara percuma.

Sepanjang penyamarannya, Frank belajar sebanyak mungkin tentang cara-cara menerbangkan pesawat terutama sekali macam mana nak set autopilot walaupun nak terbangkan layang-layang pun dia tidak tahu sebelum ini.

Sempat jugalah dia mengelilingi dunia, lepak di kokpit kapal terbang dan berfoya-foya dengan pramugari sebelum kegiatannya dihidu oleh pihak PAM dan polis.

Frank mengambil keputusan untuk bertukar identiti lagi.

Doktor Palsu

Kali ini, dia menjadi doktor pula.

Semuanya bermula apabila Frank berada di Georgia dan memohon untuk tinggal di apartment. Dia menulis pekerjaan ‘doktor’ dalam borang permohonan tersebut.

Kebetulan dia bertemu dengan seorang doktor yang tinggal di dalam bangunan sama dan mereka menjadi kawan.

Doktor itu mengajaknya melawat hospital, yang akhirnya menjadi tempat kerja baru Frank. Nasib lelaki itu baik apabila dia hanya diberi tugasan menyelia para pelajar praktikal dan kerja-kerja pentadbiran.

Dia hampir terkantoi apabila nyawa seorang bayi nyaris-nyaris melayang di tangannya sewaktu kes kecemasan.

Frank segera meninggalkan kerjaya dan bandar itu sebelum identitinya dibongkar oleh pihak polis dan FBI yang semakin menghampirinya.

Akhirnya Frank Tertangkap

Frank ‘lompat-lompat’ kerja selama lebih dua tahun. Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh terlentang atas tanah juga. Mungkin buat kerja-kerja jahat atau jenayah ini memenatkan. Tak penat ke asyik hidup dalam pelarian?

Frank tertangkap sewaktu berada di Montpelier, France. Ketika itu, dia sedang kaya raya hasil keluaran $2.5 juta daripada cek palsu dan dia bercadang untuk hidup secara normal selama beberapa tahun.

Namun kesenangan hidupnya tidak bertahan lama apabila seorang pramugari iaitu bekas teman wanitanya sendiri membantu menyerahkan dia kepada pihak berkuasa setelah mengecam wajah Frank yang terpampang di poster.

Membolosi Penjara

Penyamar ini ditahan dan dipenjarakan selama enam bulan. Kemudian dia dipindahkan ke penjara Sweden pula dan duduk situ selama enam bulan lagi sebelum balik ke Amerika.

Bagaimanapun Frank terlucut daripada pihak berkuasa selepas kapal terbang mendarat. Dia menaiki kereta api menuju ke Montreal, berniat untuk terbang keluar dari Kanada menuju ke Brazil.

Namun percubaan itu tidak berjaya apabila dia sempat ditangkap di Montreal sebelum diheret pulang ke Amerika dan dihukum penjara selama 12 tahun atas kesalahan pemalsuan. Semasa dalam penjara, dia pernah menyamar sebagai inspektor untuk mendapat layanan istimewa.

Sekali lagi dia berjaya membolosi penjara pada tahun 1971, mahu melarikan diri hingga ke Brazil tetapi tersadai di New York kerana polis menahannya di situ sebelum meringkuk semula ke dalam penjara di Virginia.

Bekerja Dengan FBI

Pihak FBI dan kerajaan memberi tawaran kepada Frank jika mahu hidup bebas. Dia harus mengajar muslihat dan taktik penipuannya kepada mereka bagi membanteras jenayah seperti yang dilakukannya.

Lelaki oportunis itu bersetuju dan menerima tawaran tersebut.

Akhirnya dia bekerja dengan FBI selama 30 tahun dan menjadi pakar dalam kes-kes pemalsuan cek, dokumen dan kecurian dengan menggunakan pengalaman dan bakatnya sebagai con-artist.

Frank juga membuka syarikatnya sendiri iaitu Abagnale & Associates, sebagai konsultan bagi membantu orang ramai agar tidak menjadi mangsa penipuan.

Inilah Frank Abagnale

Begitulah cebisan kisah hidup Frank Abagnale ini dan selebihnya diabadikan dalam sebuah buku memoir dan filem bertajuk ‘Catch Me If You Can’, lakonan mantap Leonardo DiCaprio sebagai watak dirinya ketika masih muda.

Artikel Lain Untuk Di Baca