Lelaki Ini Pernah Tidak Punya Apa-Apa Sebelum Bergelar Seorang Superstar

Permulaan selalunya menyakitkan. Bukan senang untuk memulakan sesuatu. Anda harus bersiap sedia untuk berjuang dan menghadapi pelbagai rintangan. Ini ada cerita tentang seorang lelaki yang berjuang habis-habisan pada awal kariernya.

Lelaki ini telah menempuhi banyak kesedihan dalam hidupnya namun dia tidak pernah berputus asa. Dia gagap dan wajahnya lumpuh sebelah sejak bayi. Ibu bapanya bercerai dan emosinya turut terjejas. Dia juga bermasalah dari segi akademik dan ada banyak kes gaduh sehingga disuruh keluar daripada sekolah.

Selepas berhenti sekolah, dia cuba mencari pekerjaan di New York. Pelbagai jenis pekerjaan yang dilakukan seperti mencuci kandang singa di zoo, pengiring di pawagam dan membintangi filem porno. Dia tiada pilihan, sama ada buat kerja-kerja itu atau merompak orang sebab tak berduit.

Menjadi gelandangan

Kesusahan terus menyelubungi hidupnya sehingga dia menginjak dewasa. Sampai satu tahap, dia terpaksa tidur di stesen bas New York selama tiga minggu dan menjadi gelandangan. Dengan sedihnya, dia terpaksa menjual teman paling setianya iaitu seekor anjing bernama Butkus dengan harga 50 dolar. Nak sara diri sendiri pun tidak lepas, bagaimana mahu menyara anjingnya? Setelah melepaskan Butkus iaitu satu-satunya harta yang dia ada, lelaki itu berpaling pergi dan menangis sendirian.

Kemudian dia pergi ke sebuah perpustakaan dan di celah-celah rak buku, lelaki itu mendapat inspirasi untuk menulis lakon layar. Dia menelaah buku-buku yang mengandungi tulisan para penulis terkenal dan cuba mengasah stail penulisannya. Dia tidak punya apa-apa lagi kecuali minat yang mendalam terhadap penulisan dan lakonan.

Suatu malam, hidupnya berubah 180˚ kerana sebuah skrip. Dia ternampak perlawanan tinju antara Muhammad Ali VS Chuck Wepner di kaca televisyen sebuah kedai. Dari situ, dia terfikir, mengapa tidak filemkan saja perlawanan itu? Jadi, dia pun menulis skrip filem selama tiga hari berturut-turut sehingga siap 90 muka surat.

Menjual skrip filem

Setelah itu, dia cuba menjual skrip tulisannya kepada ramai produser namun hampir semua menolaknya. Perkataan ‘rejection’ terus menghentam dia tanpa belas. Dia mengetuk lagi pintu penerbit, tetapi pintu itu kembali menghempas ke mukanya. Akhirnya ada studio yang menyukainya dan mahu membeli skripnya. Tetapi lelaki si penulis skrip itu menetapkan syarat. Dia bukan tulis skrip saja-saja tetapi juga mahu menjadi pelakon utama dalam filem hasil tulisannya itu.

“Haha, looked funny and talked funny.” Pihak studio itu tidak berminat untuk melayan permintaannya kerana kecacatan wajahnya tetapi mahukan skrip dia. Deretan pelakon kelas A sudah disenaraikan oleh pihak penerbit untuk memegang watak utama dalam cerita itu.

Lelaki itu enggan mengalah dan tidak mahu menjual skripnya selagi mereka tidak mengambilnya berlakon. Dia dapat merasakan bahawa filem tulisannya itu bakal pecah panggung suatu hari nanti dan dia mungkin akan terjun bangunan jika mukanya tiada dalam watak protagonis ciptaannya itu. Akhirnya produser tersebut setuju untuk mengambilnya berlakon sebagai watak utama tetapi dengan bayaran yang sedikit. Dia terima dan bersetuju.

Lelaki itu adalah Sylvester Stallone.

Dan filem itu bertajuk Rocky. Filem tersebut mendapat kutipan lebih $200 juta, blockbuster, menang tiga anugerah Oscar dan nama Sylvester Stallone dicalonkan sebagai Pelakon Terbaik. Filem Rocky itu juga termasuk dalam American National Film Registry sebagai filem terbaik sepanjang zaman.

Dipendekkan cerita, selepas mendapat banyak duit, Stallone merayu kepada pemilik anjing yang dia pernah jual dulu supaya menjualkan Butkus kembali kepadanya. Berapa pun dia sanggup bayar. Akhirnya, Stallone berjaya mendapatkan semula Butkus dengan harga 15,000 dolar dan anjing tersebut turut berlakon dalam filemnya. Kisah selebihnya menjadi sejarah hidupnya.

Siapa sangka, lelaki gelandangan, daif, cacat yang tidur di jalanan itu berjaya dan menjadi seorang superstar di Hollywood. Jika dia hanya mengeluh dan mengalah pada nasib, apa agaknya yang terjadi kepadanya? Benarlah janji Tuhan yang Maha Pemurah bahawa hanya diri individu tersebut yang boleh merubah nasib diri sendiri.

“It ain’t about how hard you hit. It’s about how hard you can get it and keep moving on. That’s how winning is done.”-Sylvester Stallone

Artikel Lain Untuk Di Baca