Lelaki Ini Nekad Menjejak Ikan Patin Gergasi Di Sungai Mekong Sampai Dapat

Sungai Mekong merupakan nadi kehidupan jutaan rakyat Thailand, Laos dan Kemboja (sekadar menyebut beberapa nama) dan menjadi sempadan antara negara.

Peta Sungai Mekong Sumber gambar: Mekong River Cruise

Salah satu penghuni sungai itu adalah ikan patin Mekong (Pangasianodon gigas) bersaiz raksasa yang dimahkotakan sebagai ikan air tawar terbesar di dunia oleh Rekod Dunia Guinness.

Khabar tentang raja ikan air tawar di Mekong itu sampai ke pengetahuan Dr Zeb Hogan. Dia merupakan seorang saintis yang adventurous dan handal dalam bidang ekologi akuatik. Selain itu, dia turut mengendali siri rancangan TV popular, Monster Fish sebagai hos.

Zeb Hogan. Sumber gambar: Nat Geo TV Asia

Pantang dengar ada ikan bersaiz raksasa di suatu tempat, pasti dia berkejar ke sana.

Lelaki itu sanggup terbang dari Amerika Syarikat, mengayuh sampan dari sungai ke sungai, menyelam, berhadapan dengan buaya, piranha dan segala mara bahaya semata-mata untuk bertemu dengan ikan-ikan sebesar motor RXZ.

Misi Ikan Patin Mekong

Pada suatu hari, National Geographic menugaskan dia untuk menyiasat tentang ikan patin gergasi di Sungai Mekong. Dia mulakan misi pencariannya di Ayutthaya, Thailand.

Sumber gambar: Pixabay

Menurut Hogan, ikan-ikan ini bersaiz sangat besar kerana mereka tiada pemangsa. Oleh itu, mereka mendominasi lembangan Mekong yang kaya dengan makanan itu.

Sumber gambar: Pixabay

Suatu ketika dahulu, memang banyak ikan patin gergasi di sana. Namun kini semakin sukar ditemui dek selalu ditangkap orang sejak ribuan tahun lalu.

Pencemaran, pembinaan empangan dan penangkapan secara berlebihan telah mengancam populasi ikan ini.

Informasi tentangnya sedikit sahaja terutama tentang kitaran hidupnya. Maklumat-maklumat sebegini yang diburu Hogan sebelum memulakan usaha pemuliharaan bagi menyelamatkan spesies terancam ini.

Dia mengajak beberapa penduduk tempatan untuk mencari kawasan telur ikan patin gergasi itu. Hogan memasang peralatan saintifik di sungai, kemudian terpapar di skrin laptop tentang beberapa ekor dan kekerapan patin gergasi itu lalu di kawasan tersebut.

Akhirnya seekor ikan patin Mekong betina berjaya dijumpai.

Sumber gambar: Nat Geo TV Asia

Dengan bantuan nelayan tempatan, Hogan ‘menyedut’ telur ikan tersebut guna tiub. Si ibu ikan dipasang tag sebelum dilepaskan semula.

Sumber gambar: Nat Geo TV Asia

Di makmal, dia meneropong telur-telur tersebut di bawah mikroskop. Dalam banyak-banyak telur itu, hanya seekor dua yang berjaya menjadi ikan. Kadar kematian mereka agak tinggi.

Ikan raksasa berwarna kelabu hingga putih ini merupakan spesies catfish (ikan bermisai seperti keli dan patin).

Di Malaysia, kita panggil ikan patin Mekong manakala orang Thai menggelarnya pla buk (sebutan: pla buek) menurut perkongsian laman web Umpan.

Ikan ini tiada gigi untuk memakan manusia, jadi makanannya adalah alga, plankton dan lumut yang melekat di batu-batu.

Hogan berkongsi penemuan ikan patin Mekong kepada penduduk kampung tempatan dan satu dunia menerusi media.

Misi seterusnya adalah mencari ikan pari gergasi air tawar pula yang dijangka sama saiz dengan pesawat dan ekornya itu dikatakan mampu melibas bot sehingga terbalik.

Sumber gambar: Pixabay

Begitulah cerita salah satu episod siri Monster Fish yang penulis pernah tonton dulu di TV. Berdasarkan pembacaan dan pencarian penulis, rupanya sudah lebih sedekad Dr Zeb Hogan mengkaji ikan patin Mekong ini.

Dia pernah ke Cambodia bagi menjejaki ikan yang sama. Ikan yang ditemuinya itu cuba melepaskan diri, menggigit jarinya dan begitu kuat melawan kerana lumrah tiada ikan yang pasrah mahu nasibnya berakhir di pasar dan kuali.

Artikel Lain Untuk Di Baca