Penularan wabak COVID-19 yang berlaku di negara kita telah menyebabkan ramai yang tidak melepaskan peluang untuk memberikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) dengan cara yang sangat kreatif.
Antaranya adalah, lukisan mural di dinding tempat awam dan potret Datuk Dr. Noor Hisham yang dihasilkan daripada ribuan batang skru.
Kali ini, sebuah ciapan di laman Twitter telah mendapat perhatian daripada warganet. Muhammad Darwisy Mustafani, 19 telah melukis potret Datuk Dr. Noor Hisham pada sehelai pelitup muka.
Dlm 1 kotak facemask tu kadang ii mesti ada mask yang tak dapat pakai sebab tali putus… So, kalini aku try lukis portrait @dghisham atas mask ni😁
— wisy_lukis (@wisylukis) August 9, 2020
For @DGHisham, thank u for being our superhero❤️
Yg lain jgn lupa pakai mask & pnjarakan fizikal😁
From this to this pic.twitter.com/Et8RqYeYn4
Ciapan tersebut turut menjelaskan bahawa pelitup muka yang digunakan adalah pelitup muka yang rosak. Oleh itu, dia mengambil peluang untuk menunjukkan hasil kreativitnya.
Pada masa yang sama, dia turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Datuk Dr. Noor Hisham kerana telah menjadi adiwira semasa pandemik COVID-19 berlaku.
Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, Pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Seni Bina di universiti awam ini tidak menyangka ciapannya itu akan menjadi perhatian warganet di Twitter.
“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan kepada wira negara kita, jadi saya terjemahkan melalui lukisan.
“Lukisan itu juga saya hasilkan supaya masyarakat mempunyai kesedaran memakai pelitup muka di tempat awam dan kawasan sesak.
“Alhamdulillah, sejak saya muat naik hasil lukisan atas pelitup muka itu di Twitter, ramai yang buat permintaan lukisan daripada hasil tangan saya.
“Antaranya, syarikat radio terkenal meminta saya menghasilkan logo dan potret penyampainya di atas pelitup muka. Malah, ada juga yang meminta saya melukis di bagasi mereka,” katanya.
Untuk rekod, satu daripada karyanya juga dihadiahkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui pengantara Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Jelas terbukti bahawa rakyat Malaysia bukan sahaja berbakat, malah saling menghargai perjuangan petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban untuk kita.
Semoga kita dapat lihat lebih banyak lagi hasil kreativiti daripada anak tempatan dan semoga wabak pandemik ini cepat pulih.
Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: