Sebelum ini telah dikongsikan tentang kisah peribadi Tony Fernandes melalui bukunya Flying High: My Story: From AirAsia to QPR dan sekarang akan dikongsikan mengenai idea dari setiap pekerjanya.
Pelbagai idea yang telah dilaksanakan di AirAsia datang dari pekerjanya. Tony Fernandes berusaha untuk mewujudkan budaya yang menggalakkan setiap pekerja memberikan idea dan pendapat mereka supaya Syarikat Penerbangan AirAsia dapat terus maju ke hadapan.
Bagi Tony, lebih baik mempunyai 20,000 ‘otak’ yang bekerja dengannya daripada hanya 10 ‘otak’ yang bekerja.
Pada tahun 2004, pekerja AirAsia yang baru dilantik di China, Celia Lao Sio Wun mencadangkan kepada Tony untuk mewujudkan laluan penerbangan ke Macau kerana belum ada syarikat penerbangan tambang murah yang terbang ke sana lagi.
Lantas ideanya itu diterima oleh Tony dan pada hari ini telah terdapat 4 penerbangan setiap hari ke Macau dari Kuala Lumpur. Celia telah ditugaskan untuk mengurus operasi di negara itu dan juga negara Hong Kong.
Ada kalanya juga idea dari pekerjanya datang dari tempat yang tidak disangka-sangka.
Ketika Tony menghadiri majlis pengkebumian seorang jurutera AirAsia berbangsa India, salah seorang pekerja AirAsia yang masih berkabung pergi mendekati beliau dan memberitahu beliau mengenai destinasi pelancongan Tiruchirapalli di India.
Sebenarnya, Tony tidak pernah mendengar langsung nama tempat tersebut dan meminta perancang laluan penerbangan AirAsia untuk mengkaji destinasi tersebut.
Pada hari ini AirAsia telah terbang ke destinasi tersebut sebanyak 3 kali sehari. Ia merupakan syarikat penerbangan tambang murah pertama yang terbang ke sana sebelum diikuti oleh Malindo Air, Scoot dan Jet Airways.