Lelaki Ini Kongsikan Kisah Michael Faraday Yang Menjadi Inspirasinya Di Dalam Bidang Fizik

Michael Faraday adalah idola saya dalam bidang fizik. Saya akan menceritakan trivia tentang Faraday yang menjadi inspirasi kepada saya untuk terus memajukan bidang ini.

Faraday berasal daripada keluarga yang sangat miskin. Disebabkan ayahnya sakit, Faraday terpaksa bekerja sejak umurnya 10 tahun untuk menyara hidup keluarganya.

Kisahnya bermula apabila Faraday bekerja di kedai buku sewaktu umurnya 13 tahun. Di kedai ini, Faraday rajin membaca ensiklopedia sains sehinggakan bosnya kagum dan membenarkan Faraday menggunakan perpustakaan peribadinya di rumah.

Sehingga ke akhir hayatnya, Faraday hanya mempunyai pendidikan formal yang sangat sedikit iaitu di sekolah rendah, dia hanya belajar membaca dan mengira sahaja.

Pengetahuan Faraday dalam matematik hanya setakat trigonometri dan algebra sahaja. Tidak sampai kepada matematik tinggi yang biasa dikuasai oleh ahli-ahli fizik.

Faraday digelar sebagai seorang eksperimentalis yang agung kerana kemahirannya dalam mengendalikan eksperimen fizik dan kimia melangkaui zamannya sendiri. Malah, melangkaui zaman moden.

Selama 150 tahun, tiada siapa yang dapat meniru prosedur eksperimen yang dikendalikan Faraday dalam mengasingkan benzene (satu komponen dalam minyak bumi) daripada minyak pada tahun 1825.

Ernest Rutherfor, ‘Bapa Fizik Nuklear,’ menyatakan Faraday merupakan orang yang paling banyak penemuannya dalam bidang fizik terutamanya dalam aspek keelektrikan (electricity) dan daya tarikan (magnetism). Pelbagai disiplin fizik telah diasaskan oleh Faraday. Rutherford juga berkata kemajuan sains terbesar adalah daripada jasa Faraday.

Faraday dikatakan sebagai pembangun tamadun elektrik di dunia.

Banyaknya penemuan yang dilakukan Faraday kerana dia rajin membuat pelbagai eksperimen (trial and error).

Permohonan Faraday untuk belajar di Royal Society pernah ditolak kerana dia tidak mempunyai pendidikan formal. Tetapi, setelah menjadi saintis yang terkemuka, dia telah ditawarkan menjadi Presiden Royal Society tersebut sebanyak dua kali, tetapi dia menolak.

Perdana Menteri Britain pada masa itu iaitu William Gladstone pernah bertanya kepada Faraday tentang faedah penemuannya yang baru iaitu aruhan elektromagnetik (electromagnetic induction).

Faraday jawab, “I know not, but I wager one day your government will tax it.”

Faraday antara pelopor utama yang membangunkan budaya ‘sains popular’ iaitu memperkenalkan dan mempopularkan sains kepada masyarakat.

Faraday menjadi tarikan kerana dia pandai meringankan sains melalui eksperimennya yang didemonstrasi kepada orang awam.

Tambahan pula, Faraday sangat digemari masyarakat kerana dia berjaya merapatkan jurang antara saintis yang elit dan orang awam.

Albert Einstein pernah menggantung gambar Faraday di bilik belajarnya bersama dengan gambar Newton dan Maxwell.

Faraday pernah ditawarkan bermacam gelaran termasuk gelaran kesatria (dapat pangkat ‘Sir’), tetapi dia menolak.

Namanya disemadikan sebagai piawaian unit antarabangsa untuk ‘capacitance'(keupayaan menyimpan cas elektrik) iaitu unit Farad.

Ketika kematiannya, Faraday berwasiat yang dia tidak mahu pengebumiannya diadakan sebarang majlis kenduri, dan dia hanya mahu dihadiri oleh keluarga dan kawan-kawan rapat sahaja.

Artikel Lain Untuk Di Baca