Lelaki Ini Jumpa Perangkap Tikus, Dipercayai Dipasang Untuk Bunuh Kucing Terbiar

Seorang lelaki telah memuat naik gambar perangkap tikus yang diletak sisa ikan sebagai umpan serta taburan serbuk yang dipercayai racun di laman Twitter miliknya. Perangkap tersebut ditemui berdekatan sebuah pangsapuri di Cheras.

Shaiful, 31, berkata dia sangat terkejut apabila menjumpai sangkar tersebut serta berasa sangat kesal dengan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu. Jika tidak suka akan haiwan itu, janganlah sampai ingin membunuhnya dengan cara kejam begitu.

Statusnya itu telah mendapat 4,141 ulang ciap dan 2,436 tanda suka serta mendapat perhatian penuh netizen.

Shaiful menceritakan bagaimana dia peka akan kehadiran sangkar itu. Ketika itu, dia baru pulang dari tempat kerja pada sekitar jam 10.30 malam. Sebelum pulang terus ke rumahnya, dia berhenti sekejap untuk memberi makan pada kucing-kucing terbiar yang selalu berkeliaran di sekitar kotak parkir keretanya.

Shaiful berasa pelik kerana anak kucing yang selalu menunggunya pulang tiada di tempat biasa ia menunggu. Ketika itulah dia menjumpai sangkar tersebut dan mencari kucing-kucing sekitar tempat itu untuk diselamatkan kerana berkemungkinan besar telah termakan umpan yang ditaburi racun terbabit.

“Hampir 20 minit saya cari. Namun, seekor pun tiada. Pengawal keselamatan yang melihat saya berlegar di bawah pangsapuri itu kemudiannya memaklumkan ada individu sengaja meletakkan perangkap itu bagi membunuh kucing,” kata Shaiful.

Kira-kira enam ekor kucing yang sering berlegar di sekitar pangsapuri diduduki Shaiful dan kucing-kucing tersebut tidak pernah menganggu sesiapa malah isu bau tidak pernah timbul.

“Namun, saya tidak tahu mengapa ada individu sanggup berbuat demikian sehingga mahu racun kucing di situ,” katanya.

Walau bagaimanapun, Shaiful berjaya menyelamatkan seekor anak kucing ketika mencari haiwan-haiwan tersebut. Dia mendakwa anak kucing itu kelihatan takut serta bertindak agresif malah mencakar tangannya ketika dia cuba memasukkan kucing tersebut ke dalam pet carrier.

Shaiful bersyukur kerana ramai warganet yang ingin membela anak kucing tersebut selepas dia memuat naik status mengenai haiwan itu di Twitter.

Dia akan menemui individu yang bertanggungjawab atas pemasangan sangkar tikus terbabit. Dia ingin mendapatkan penjelasan lanjut individu itu atas tindakan tidak masuk akalnya.

Jikalau perlu, dia akan melaporkan kepada pihak yang berkuasa.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca