Seorang lelaki di China dipercayai menjadi mangsa dera setelah ditampar sebanyak 52 kali oleh teman wanitanya kerana tidak dibelikan telefon pintar baharu pada hari Valentine.

Di China, hari Valentine disambut pada 20 Mei dan hari yang sepatutnya menjadi peristiwa paling romantik itu menjadi kecoh bagi penduduk sekitar wilayah Sichuan apabila melihat seorang perempuan muda menampar teman lelakinya di tengah jalan sambil memarahinya kerana gagal membelikannya telefon pintar.

Apa yang lebih mengejutkan adalah sikap tenang lelaki tersebut yang sedikit pun tidak melawan saat ditampar keras oleh teman wanitanya. Dia merelakan dirinya menjadi punching bag.

Orang ramai mengerumuni dan menyaksikan ‘drama’ pasangan tersebut secara langsung. Tidak lama kemudian, polis tiba di tempat kejadian bagi meredakan suasana yang tegang itu

Bagaimanapun, lelaki yang ditampar itu cuba melindungi teman wanitanya apabila polis mahu mengangkut mereka pergi dari situ walaupun dia telah dimalukan depan orang ramai.

Katanya kepada polis, dia yang bersalah kerana tidak membeli hadiah seperti yang dimahukan oleh kekasihnya dan dia membenarkan dirinya ditampar kerana hanya itu cara yang boleh menenangkan perempuan itu.

Dia turut memberitahu polis bahawa teman wanitanya yang banyak menanggung perbelanjaannya selama ini, itu antara sebab lagi mengapa dia sanggup untuk menerima tamparan banyak kali.

Adegan tamparan wanita itu dirakam oleh kamera pengawasan dan telefon pintar orang ramai. Footage video rakaman itu tidak merakam semua insiden tersebut namun pihak polis telah mengesahkan lelaki itu telah ditampar sebanyak 52 kali.

 

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda