Lelaki Ini Curi Angsa Hitam Di Taman Tasik Untuk Dijadikan Sup

Seorang lelaki telah ditahan pihak berkuasa selepas dia didapati mencuri seekor angsa hitam dari sebuah taman dan menjadikan haiwan malang itu sebagai hidangan makan malamnya baru-baru ini.

Menurut laporan media tempatan, kegiatan lelaki berkenaan akhirnya terbongkar selepas pekerja Taman Tasik Cui yang berada di Jinhua, timur China itu sedar akan kehilangan seekor daripada empat angsa hitam yang ditempatkan di situ selama hampir empat tahun. Pekerja tersebut kemudiannya melaporkan tentang kehilangan itu kepada pihak berkuasa.

Sebaik sahaja menerima laporan tersebut, pihak polis terus menyiasat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan berjaya mengesan pencuri yang dikenali sebagai Wu itu. Menerusi rakaman itu, Wu dilihat mengetuk angsa tersebut menggunakan kayu sehingga ia jatuh pengsan sebelum terburu-buru meninggalkan taman berkenaan dengan tongkat kayu dan beg berwarna merah.

Semasa diserbu, polis berjaya menemui sebuah periuk berisi sup angsa di kediaman lelaki terbabit dan separuh daripadanya telah pun selamat dimakan.

Wu mendakwa bahawa dia menyerang angsa itu untuk mempertahankan diri selepas haiwan tersebut bertindak mematuknya apabila dia mengusiknya dengan belantan.

Katanya, dia membawa isteri dan anak-anaknya ke taman itu pada sebelah petang dan mendakwa dia sangat kecewa kerana dipatuk oleh angsa itu.

Dalam pada itu, Wu sempat memberitahu kepada pihak polis bahawa daging angsa tersebut tidak sedap dimakan tetapi ia mempunyai bau yang sangat enak.

Walau bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Wu bakal berdepan sebarang tuduhan atau sebaliknya.

Sebelum ini, kami ada berkongsi kisah pengusaha di China yang didakwa merebus kucing demi pasaran dagangan. Untuk baca artikel penuh dan artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca