Lelaki Ini Bunuh Jirannya Sebab Asyik Tanya “Bila Nak Kahwin?”

Kerana pulut, santan binasa. Kerana mulut ‘bawang’, badan binasa.

Pepatah ini dipilih untuk menggambarkan sebuah pembunuhan yang berlaku di Garut, Indonesia pada tahun lepas iaitu 2018.

Peristiwa ngeri ni diceritakan oleh Budi Satria Wiguna, polis yang menyiasat kes tersebut kepada wartawan Detik News.

Sebelum kejadian itu berlaku, seorang pemuda bernama Nunur, 28 tahun sedang duduk termenung di depan rumah. Kemudian lis Aisyah, jirannya yang sedang sarat hamil lalu di depan rumahnya dan terus berkata:

“Cepat-cepatlah kahwin, orang lain sudah ada anak dua, tiga orang. Ini kau belum laku-laku.” Rupanya kata-kata itu berbekas di hati Nunur dan menyinggung perasaannya.

Malam kejadian

Pada suatu malam, lelaki itu berkunjung ke rumah mangsa. Aisyah yang tidak syak apa-apa mempelawanya masuk dan duduk di ruang tamu.

Wanita itu masuk ke dapur untuk membuat air, Nunur mengikutnya sehingga ke dapur lalu mencekik mangsanya. Mangsa cuba melawan namun tangannya digigit Nunur sehingga berdarah.

Setelah membunuh Aisyah, Nunur yang terlihat sejumlah wang 800,000 Rupiah (RM230) dan telefon bimbit milik mangsa segera mengambilnya.

Akhirnya Aisyah ditemui mati berlumuran darah dalam biliknya oleh salah seorang jirannya yang hairan kenapa wanita itu tak keluar-keluar rumah.

Nunur cuba lari

Lelaki itu melarikan diri ke Jakarta namun polis sempat memintasnya di sana. Polis terpaksa menembak kakinya kerana dia cuba melawan dan melarikan diri.

“Berdasarkan hasil siasatan, suspek tidak berniat mencuri pun barang-barang mangsa. Dia mengaku bahawa semua ini bermotifkan dendam kepada mangsa kerana dikatakan tidak laku.” kata Budi.

Iktibar daripada cerita ini adalah kita harus berhati-hati dengan percakapan kita dan sebaiknya elakkan diri bertanya soalan-soalan ‘sentap’ seperti urusan jodoh, anak dan perceraian terutama kepada orang yang sensitif dan beremosi.

Selain itu, jika kita sakit hati dengan kata-kata orang sekalipun, itu tetap tidak menghalalkan cara untuk kita berlaku kejam kepada orang lain juga.

Artikel Lain Untuk Di Baca