Warga Kuantan Ini Bina Sarang Madu Kelulut Berbentuk Seakan Bangunan Sultan Ibrahim.

Seorang warga Kampung Cerating Baru, Kuantan, Abdul Majid Abdul Rahman, 51, telah membina sarang madu kelulut berbentuk seakan-akan Bangunan Sultan Ibrahim.

Menurut Abdul Majid, idea untuk membuat sarang kelulut dengan tema tersendiri timbul pada tahun 2020. Ternakan kelulut itu pada awalnya dilakukan hanyalah sebagai aktiviti mengisi masa lapang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19.

“Pada mulanya saya buat sekadar suka-suka dan madunya hanya untuk kegunaan sendiri.

“Ketika itu, timbul idea untuk saya hias bongkah kayu sarang kelulut ini menjadi sebuah hasil seni yang mungkin berbeza dengan sarang kelulut diusahakan orang lain,” jelas beliau.

Untuk menghias sarang kelulut itu beliau hanya menggunakan kayu dan barang terbuang sebagai bahan. Kini, selain daripada sarang kelulut yang berbentuk seakan Bangunan Sultan Ibrahim terdapat lagi lebih kurang 20 sarang lain yang semuanya mempunyai tema yang tersendiri.

Antara tema lain yang dibina Abdul Majid. Sumber: Sinar Harian

Salah satunya berbentuk seperti rumah Telupid di Sandakan, Sabah. Apabila ditanya mengenai tema ini, beliau berkata kedua-dua Bangunan Sultan Ibrahim dan rumah Telupid begitu dekat dengan kehidupan dan pekerjaan beliau sebelum ini iaitu sebagai pegawai perhutanan di Johor dan Sabah.

Sarang Kelulut seperti rumah Telupid. Sumber: Sinar Harian

“Selepas itu, saya buat beberapa sarang kelulut lagi dengan tema berbeza selain mengabadikan nama-nama keluarga diraja, pahlawan Melayu dan bintang sukan permotoran,” katanya.

Selain menghasilkan madu kelulut yang mempunyai khasiat tinggi, sarang kelulut yang unik itu turut menjadi daya penarik pengunjung ke galeri miliknya, galeri Pak Majid Cerating (PMC).

Dengan adanya sarang kelulut yang unik di perkarangan galeri tersebut, orang ramai semakin suka datang berkunjung ke galeri beliau. Di sana, pengunjung bukan sahaja dapat melihat reka bentuk sarang kelulut yang unik, malah boleh meminum madu terus daripada sarang.

Pengunjung boleh meminum madu terus daripada sarang. Sumber: Sinar Harian

Kalau anda ingin berkunjung ke Kuantan, bolehlah letakkan galeri Pak Majid Cerating (PMC) ini sebagai salah satu destinasi pelancongan anda.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca