Lelaki Hilang Tanpa Jejak Ini Mungkin Telah Dimakan Oleh Kanibal

Asmat, Papua New Guinea

Tempat itu meriah dengan hidupan liar. Di sana ada hutan yang menjadi tempat tinggal babi hutan, burung-burung kakak tua dan enggang. Manakala buaya sepanjang 15-kaki pula sedang berjemur di tebing sungai kawasan paya itu.

Bot yang dinaiki Carl Hoffman menyeberangi Sungai Betsj. Tiba-tiba bot itu dilambung ombak air pasang yang berarus deras.

Carl merangkak mencapai telefon satelit dalam beg Ziploc dan menyimpannya di dalam poket seluarnya. Sekurang-kurangnya orang mengetahui lokasi di mana dia berada nanti.

Dia terkenangkan kejadian yang menimpa Michael Rockefeller pada tahun 1961.

Tahun 1960

Michael Rockefeller

Lelaki berusia 23 tahun itu merupakan anak bongsu Nelson Rockefeller, Gabenor New York pada waktu itu dan cicit kepada John D. Rockefeller, billionaire pertama dalam sejarah Amerika Syarikat.

Michael yang pendiam dan artistik itu kurang berminat untuk mengikut jejak langkah bapa dan keluarganya dalam arena politik dan perniagaan. Dia tidak tahan berada dalam keadaan mesyuarat dan bertemu klien. Jiwanya lebih ke arah seni dan budaya purba.

Ayahnya, seorang pengumpul barangan seni prolifik itu telah membuka Muzium Seni Primitif bagi mempamerkan koleksi barangan purba tamadun Maya, Aztec dan Nigeria. Kecantikan eksotik pada objek-objek itu telah memukau Michael.

Setelah tamat pengajian sejarah dan ekonomi di Universiti Harvard, Michael merantau ke luar negara, tinggal di Jepun dan Venezuela untuk beberapa waktu. Dia berazam untuk mencari barangan primitif yang ‘rare’ dan sesuatu yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

Selepas berbincang dengan beberapa orang wakil Muzium Kebangsaan Etnologi Belanda, Michael memutuskan untuk melawat Dutch New Guinea ketika itu, sebuah pulau besar bagi mengumpul barang seni orang Asmat yang tinggal di sana.

Ekspedisi pertama ke Asmat 

Walaupun ketika itu pulau itu diduduki kolonialis Belanda, kebanyakan orang Asmat tidak pernah melihat orang putih dan jarang berhubung dengan dunia luar.

Mereka percaya yang pulau itu dihuni oleh hantu-hantu dan orang-orang putih yang datang dari seberang laut itu adalah makhluk daripada dimensi lain.

Michael Rockefeller, sepasukan penyelidik dan pembikin dokumentari itu cuba mendekati komuniti Asmat walaupun kehadiran mereka bukan diterima sepenuhnya. Namun sekumpulan orang asing itu cuba juga bergaul dengan masyarakat tempatan.

Para penduduk bekerjasama dengan tim fotografi, namun tidak membenarkan pengkaji membeli artifak budaya mereka, misalnya galah yang digunakan dalam ritual Asmat dan upacara keagamaan mereka.

Tetapi Michael tidak berputus asa. Dia tertarik dengan gaya hidup orang Asmat yang berbeza dengan dunianya di Barat.

Penduduk asal ini juga jauh lebih ganas, Michael dapat tahu yang para pahlawan Asmat ini bunuh jiran, potong kepala musuh, makan dagingnya dan mengadakan ritual minum air kencing sesama sendiri.

“Ini lebih liar dan tempat terpencil yang pernah saya lihat sebelum ini.” tulis lelaki itu dalam diarinya.

Michael semakin bersemangat. Sebelum pulang ke New York, dia berjanji untuk datang lagi tahun depan bagi buat kajian antropologi tentang Asmat dan tunjukkan koleksi seni mereka di muzium ayahnya.

Perjalanan terakhir ke Asmat (Tahun 1961)

Setahun kemudian, Michael memegang kata-katanya untuk datang sekali lagi ke tempat itu. Kali ini dia ditemani René Wassing, seorang ahli antropologi kerajaan Belanda.

Semasa bot mereka menghampiri kampung Ostjanep, tiba-tiba ombak dan arus deras memukul bot mereka sehingga terbalik.

Michael dan Wassing berpaut pada bot yang terbalik itu manakala dua orang penumpang lagi berenang ke daratan bagi meminta bantuan.

Mereka berada kira-kira 12 batu dari daratan. Michael nekad untuk berenang ke sana walaupun sudah ditegah. Dia terjun ke dalam air.

Sejak itu, lelaki tersebut tidak kelihatan lagi.

Wassing sempat diselamatkan oleh pihak penyelamat manakala nasib Michael tidak diketahui.

Mencari Michael

Keluarga Rockefeller berhabis duit bagi mencari Michael. Kapal terbang, helikopter dan kapal-kapal mengelilingi kawasan itu namun jejak lelaki itu seolah-olah turut lenyap.

Ibu bapanya turut terbang ke New Guinea bagi mencari sendiri anak lelaki mereka. Tiada tanda-tanda jasad Michael ditemui.

Selepas 9 hari, pihak kerajaan Belanda memutuskan yang tiada harapan lagi untuk menemui Michael hidup-hidup.

Keluarga Rockefeller meninggalkan pulau itu walaupun percaya yang Michael akan muncul. Dua minggu kemudian, pihak Belanda membatalkan operasi pencarian tersebut dan menyimpulkan yang Michael mati lemas.

50 tahun kemudian

Beberapa dekad kemudian, wartawan dan penulis Carl Hoffman datang ke kampung Ostjanep demi mencari sebuah jawapan setelah mengharungi segala laut dan sungai.

Sebelum perjalanan itu, dia sempat meneliti beberapa dokumen, diari dan mengikuti kes Michael Rockefeller yang hilang sejak 50 tahun lepas.

Dia memiliki impian yang sama seperti Michael iaitu melihat satu dunia yang berbeza dengan hidup mereka. Dia amat tertarik dengan gambar Michael yang duduk berlutut bersama kameranya sambil dikelilingi penduduk asal situ.

Carl dan penterjemah datang ke situ kononnya untuk mengkaji sejarah Asmat dan tidak pernah menyebut tentang nama Michael kerana khuatir akan keselamatan dirinya.

Penterjemah Carl terdengar seorang lelaki tempatan memberitahu kepada kawannya agar tidak membuka cerita yang suatu ketika dahulu, ada orang putih mati di tempat mereka.

“Siapa orang putih tu?” gesa penterjemah Carl.

“Michael Rockefeller.” jawab orang kampung itu dalam takut-takut.

Kisah lebih separuh abad itu mula terbongkar.

Pada tahun 1957, iaitu tiga tahun sebelum kedatangan Michael, telah berlaku pergaduhan antara dua suku kaum Asmat iatu penduduk kampung Ostjanep dan Omadesep.

Pihak Belanda cuba meleraikannya namun tertembak mati 4 orang pahlawan suku tersebut. Peristiwa itu meninggalkan kejutan dan kesan yang mendalam kepada orang Asmat yang tidak pernah melihat senapang.

Sewaktu sekumpulan lelaki suku Asmat berada di atas kayak, mereka terlihat ada lembaga sedang merangkak keluar dari sungai. Pada awalnya, mereka menyangka buaya. Rupanya bukan, sebaliknya seorang lelaki Barat yang kelihatan lemah, sendirian dan basah kuyup.

“Bukankah kau selalu nak buru kepala orang putih?” tanya salah seorang lelaki Asmat kepada kawannya.

Jika benar itu Michael Rockefeller, maka lelaki itu mungkin telah dibunuh, dagingnya diratah beramai-ramai dan tengkoraknya digantung di salah sebuah rumah penduduk kampung tersebut manakala tulangnya digunakan sebagai peralatan menangkap ikan.

Nasib lelaki itu mungkin buruk kerana telah bertembung dengan anak lelaki salah seorang pahlawan yang mati ditembak orang Belanda itu.

Sebelum Carl pulang ke Amerika, salah seorang penduduk kampung berpesan, “Jangan cerita kepada sesiapa, I am afraid you will die.”

Artikel Lain Untuk Di Baca