Lelaki Fobia Pada Perempuan Cantik Adalah Lelaki Yang Pernah Tersakiti?

Pernahkah anda berasa takut yang berlebihan pada sesuatu? Misalnya takut kahwin, serangga atau darah. Secara psikologinya, ketakutan luar biasa ini dipanggil fobia.

Salah satu fobia yang ‘rare’ adalah Venustraphobia atau Caligynephobia, iaitu takut kepada perempuan cantik. Perkataan Venustraphobia ini berasal daripada pokok Venus flytrap yang tangkap lalat itu.

Perempuan juga boleh mengalami fobia ini tetapi kebiasaannya lelaki yang terjerat ke dalam perangkap itu. Walaupun bunyinya sukar untuk dipercayai, memang benar terdapat segelintir lelaki yang fobia pada perempuan cantik. “The struggle is real” bak kata orang bermata biru.

Sebagai contoh, ada seorang individu ini berasa cuak atau seolah-olah terputus nafas apabila pelakon cantik Fazura berdiri kira-kira 2-meter darinya. Itu baru seorang Fazura.

Jika ada 10 orang Fazura di sekelilingnya, fokus kerjanya mungkin terus menuju ke ‘laut’ semuanya. Ini antara contoh simptom penghidap Venustraphobia.

Antara tanda-tanda lain adalah seperti berikut:

  • Mual
  • Takut yang amat
  • Berpeluh
  • Jantung berdegup laju dub dab dub dab
  • Serangan panik
  • Hampir pitam

Punca-puncanya

Berdasarkan pembacaan beberapa sumber, penyebab fobia ini bergantung pada karakter dan sejarah hidup seseorang itu.

Hal ini dipercayai berlaku kerana peristiwa traumatik yang menimpa seseorang melibatkan perempuan cantik seperti perhubungan yang gagal, cinta ditolak, dibuli atau penderaan semasa zaman kanak-kanak yang menyebabkan wujudnya stigma ‘perempuan tidak boleh dipercayai’.

Di samping itu, isu keyakinan diri, insecure dan rendah diri turut menjadi faktor. Orang yang menderita Venustraphobia mengalami perasaan takut dimalukan, dikritik atau dihina dalam pelbagai situasi sosial.

Langkah-langkah mengatasi

Dalam banyak-banyak jenis fobia, Venustraphobia ini mungkin kes terpencil dan unik. Namun begitu, ada yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan sosial seseorang jika mencapai tahap ekstrem dan tidak diatasi.

Individu ini boleh mendapatkan rawatan daripada pakar psikologi, sesi kaunseling dan mendapatkan nasihat pihak profesional. Sokongan, panduan dan kasih sayang orang terdekat amat membantu insan ini dalam mengatasi fobia tersebut.

Penafian: Artikel ini sekadar untuk bacaan informasi santai, bukan diagnosis perubatan. 

Artikel Lain Untuk Di Baca