Lelaki Di India Ini Potong Lidah Sendiri Kerana Percaya Ia Boleh Hentikan Penularan COVID-19

Seorang lelaki buruh binaan dilaporkan memotong lidah sendiri gara-gara percaya tindakan itu dapat menggembirakan dewi yang dipujanya sekali gus boleh meredakan India daripada pandemik COVID-19.

Kejadian itu dikatakan terjadi pada hari Sabtu yang lepas di sebuah kuil terletak di Suigam di Gujerat, India yang terkenal sebagai salah satu lokasi pelancongan.

Lelaki yang dikenali sebagai Vivek Sharma itu ditemui sami dalam keadaan berlumuran darah.

Menurut laporan Astro Awani, lelaki yang berasal dari bandar Madhya Pradesh itu baru sahaja dua bulan bekerja di tapak projek di Suigam yang terletak kira-kira 18 kilometer dari sempadan India-Pakistan.

Beliau dikatakan keluar ke pasar untuk membeli barang dapur pada pagi Sabtu, namun apabila beliau masih tidak pulang abangnya yang bekerja di tempat sama cuba untuk menghubunginya beberapa kali.

Panggilan itu kemudian dijawab oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memaklumkan Vivek telah memotong lidahnya di sebuah kuil.

Pegawai polis, Sub Inspektor HD Parmar memberitahu, berdasarkan laporan awal, Vivek mengaku berbuat demikian dengan harapan dapat menghentikan penularan pandemik itu dan menggembirakan dewi.

Gambar hanya sekadar hiasan

“Siasatan mendapati, Vivek dikatakan menyatakan hasratnya untuk pulang ke kampung halaman beberapa hari yang lalu, namun gagal ekoran pelaksanaan perintah berkurung yang membataskan pergerakannya,” katanya pada Sabtu yang lalu.

Menurut Parmar, Vivek ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan lidah berada pada tangannya oleh seorang sami kuil berkenaan.

Lelaki itu kemudian ditempatkan di sebuah hospital di pekan Tharad dan pasukan perubatan sedang berusaha untuk mencantumkan kembali lidahnya.

Siasatan terperinci akan dijalankan oleh pasukan polis bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca